Pakatan Harapan (PH) hari ini menolak cakap-cakap kononnya bekas timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengambil alih peranan sebagai ketua pembangkang.
Ini kerana, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayob berkata gabungan pakatan itu berpuas hati dengan ketua pembangkang sedia ada iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Semua parti gembira dengan Dr Wan Azizah sebagai ketua pembangkang,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke memberi sokongan yang sama, berkata:”Bagi pihak DAP, saya mahu menyatakan keyakinan penuh terhadap Dr Wan Azizah untuk terus mengetuai pembangkang.”
Cakap-cakap mengenai Muhyiddin akan menggantikan Wan Azizah timbul apabila Ahli Jawatankuasa Pusat Amanah Mazlan Aliman dilaporkan berkata parti itu merancang untuk mencadangkan supaya bekas ahli Umno itu menjadi ketua pakatan pembangkang.
Menjawab perkara itu, Salahuddin berkata parti itu sudah pun memberi penjelasan yang kenyataan Mazlan diambil di luar konteks.