“PM Najib mesti menjawab sendiri kritikan media antarabangsa dalam isu 1MDB. Tak patut dia diam membatu dan membiarkan para menterinya menjawab dengan hujah yang bukan-bukan,” kata Ketua Komuniksi Parti Amanah Negara (Amanah) Ir Khalid Samad kepada Suara pakatan daily.
Beliau mengulas kontroversi 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang semakin parah selepas portal pendedah maklumat Sarawak Report mendedahkan butir-butir Laporan Ketua Audit Negara yang dirahsiakan pentadbiran Najib menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) daripada pengetahuan rakyat.
Khalid mencabar Najib meneruskan saman ke atas akhbar Wall Street Journal sekiranya pendedahan mereka sebelum ini tidak benar. Katanya, imej negara terjejas teruk di peringkat antarabangsa dan mungkin menyusutkan pelaburan asing ke Malaysia pada masa hadapan berikutan isu skandal 1MDB.
“Apa yang paling mengecewakan walaupun imej Malaysia terjejas teruk, Kerajaan BN berkelakuan ‘selamba’ sahaja. Adakah apa-apa tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan BN untuk menutup suara WSJ?” tambah Khalid yang berpendapat kerajaan tidak wajar membiarkan situasi sekarang di mana topik 1MDB sedang berkumandang ke seluruh dunia seperti ‘lagu hit popular’.
Mengulas isu sama, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin, AJK Nasional Amanah juga berpendapat sedemikian. Katanya, Najib perlu membersihkan namanya sekiranya beliau mahu kekal menjadi Perdana Menteri atau sebaliknya berundur.
“Bilakah PM Najib hendak menjawab tuduhan dari WSJ? Mengapa diam sahaja terhadap tuduhan dari pihak asing? Kerajaan kita wajib pantas menjawab tuduhan dari media antarabangsa dengan hujah yang bernas dan fakta yang mantap.
“Rakyat sedang menanti kerajaan menjawab kerana kalau tidak, pelabur asing akan tertanya-tanya ‘apakah yang sedang berlaku ini?” bidas Nizar.