Kesal dengan kekeliruan dan tuduh-menuduh di kalangan parti pembangkang, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menyeru “gencatan serangan” supaya fokus dialihkan kepada musuh sebenar mereka, Barisan Nasional.
“Rakyat teramai keliru dan ada yang ketawa sendirian dan ada yang menggeleng kepala melihat keadaan politik pembangkang hari ini.
“Semua tersekat di dalam lumpur. Nak ke depan tak jelas jalan mana. Nak undur ke belakang rasa nak ke hadapan. Nak kekal tak jadi sebab dah tahu pasti tenggelam. Inilah yang sedang dirasai rakyat teramai,” kata pemimpin kanan PAS itu dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya sejak kebelakangan ini, parti pembangkang “masing-masing ingin menjadi hero” dalam serangan mereka terhadap parti pemerintah.
“Maka, sesiapa yang berpotensi menjadi hero mesti dihapuskan dahulu kerana masing-masing percaya bahawa diri sendiri sahaja yang layak menumbang musuh,” katanya.
PAS bukan sebahagian Pakatan Harapan, gabungan antara PKR, DAP dan Amanah yang menggantikan Pakatan Rakyat yang terkubur selepas pertelingkahan PAS-DAP mengenai hudud tahun lalu.
Sambil memberi amaran negara menghadapi “kerosakan yang sangat menakutkan”, Tuan Ibrahim yakin pembangkang boleh mencari titik pertemuan untuk berkompromi.
Kegagalan berbuat demikian, akan hanya menghancurkan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang, tambahnya.
“Jika titik kompromi dijumpai, percayalah yang menjadi abu hanyalah satu, iaitu Umno-BN.”