Bekas menteri Umno Datuk Seri Shafie Apdal berkata, pengkritik bebas untuk bercakap perkara buruk mengenai parti baru yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Biarkan mereka kata apa yang mahu mereka kata, mereka mempunyai kebebasan untuk bercakap apa sahaja,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Deklarasi Rakyat dipengerusikan Mahathir di Putrajaya hari ini.
Shafie berkata beliau akan “tunggu dan lihat” sejauh mana parti baru itu boleh pergi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan memperlekeh yang dibuat oleh bekas rakan-rakannya dalam Umno terhadap parti baru ditubuhkan bekas -bekas pemimpin parti itu.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Abdul Aziz semalam mendakwa Mahathir dan bekas pemimpin Umno adalah liabiliti kepada pembangkang, dan oleh itu mereka dipaksa menubuhkan parti baru.
“Saya ucapkan yang terbaik dan semoga berjaya kepada beliau. Berambuslah sampah,” Nazri dipetik sebagai berkata oleh portal berita Free Malaysia Today.
Shafie, yang dipecat daripada jawatan menteri, memutuskan untuk keluar daripada Umno selepas dikenakan penggantungan.
Menurutnya, bekas pemimpin Umno yang menghadiri mesyuarat itu telah mengilhamkan penubuhan parti baru itu.
“Kami telah berbincang dan kebanyakan rakyat menyambut pembentukannya. Apa yang penting sekarang ialah perpaduan di kalangan kita,” katanya.