Penurunan Kadar Polisi Semalaman (OPR – Overnight Policy Rate) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dari 3.25% ke 3% adalah satu petanda bahawa rakyat negara berdepan kelembapan ekonomi dan penurunan OPR tersebut dilakukan dengan tujuan untuk merangsang kadar pertumbuhan ekonomi dengan ‘meletakkan lebih banyak wang ke dalam tangan rakyat’.
Penganalisis ekonomi berpendapat melalui penurunan OPR ini, bank-bank digalakkan memberi lebih banyak pinjaman kepada rakyat dengan kadar faedah lebih rendah untuk memudahkan rakyat membayar balik pinjaman itu, misalnya pinjaman membeli hartanah atau kereta yang merupakan separuh daripada hutang isi rumah di negara ini.
Usahawan hartanah, Jake Goh berpendapat polisi Bank Negara itu hanyalah spin untuk meyakinkan rakyat bahawa ekonomi masih baik dan mereka masih boleh berhutang tanpa bimbang.
“Ini bukan perihal ekonomi ‘char kuey teow’. Jika 10 orang membeli rumah atau kondo berharga RM2 juta jumlahnya ialah RM20 juta dan ia mampu merangsangkan ekonomi negara berbanding dengan 10 orang yang makan sepinggan ‘char kuey teow’ berharga RM7 sepinggan.
“Oleh itu, untuk mencetuskan ‘spin’ dalam aktiviti ekonomi, bank-bank perlu memberikan pinjaman kepada lebih ramai lagi orang atau apa yang digelar sebagai ‘memasukkan duit ke dalam tangan rakyat’ supaya rakyat akan berbelanja untuk membeli barangan yang besar (big-ticket items) kerana pada masa ini rakyat sedang berjimat disebabkan oleh kegawatan ekonomi sedunia dan ketidaktentuan dalam halatuju politik (political uncertainty) negara kita,” kata kepada Suara pakatan daily.
Usahawan muda dalam lingkungan usia 30-an ini berkata, waktu ini pembeli hartanah atau kereta mendapat banyak ‘freebies’ iaitu diskaun atau bonus percuma sebagai galakan untuk membeli.
Bagaimanapun pada jangka panjang polisi meneruskan hutang adalah tidak baik untuk ekonomi negara.
“Kadar pertumbuhan ekonomi tahun ini dijangka berada di antara 4% hingga 4.5%. Tetapi kalau pertumbuhan jatuh dibawah paras 3.8% maka ekonomi sudah berada dalam keadaan yang tenat. Oleh kerana itulah ekonomi perlu dirangsangkan sekarang,” tambah usahawan itu.