Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mendakwa PAS merupakan parti yang menolak untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan.
Naib presiden Amanah itu berkata PAS lebih rela bersendiri sehingga mewujudkan blok ketiga bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia.
“PAS selama ini menolak untuk bekerjasama dengan kekuatan pembangkang dan rela bersendiri. Kita boleh bawa kuda ke sungai untuk minum tetapi kita tidak boleh paksa kuda untuk minum.
“Amanah bergerak dalam kerangka demokrasi dan ‘plurality’ politik. Kami menerima demokrasi sebagai landasan kami bergerak,” katanya menerusi Whatsapp kepada FMT.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata demikian sebagai menjawab pandangan Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) Datuk Dr Ahmad Farouk Musa yang Umno dan BN akan terus memerintah jika PAS dipinggirkan.
Farouk berkata PAS mempunyai penyokong yang kuat dan tegar hingga sanggup korbankan masa, wang dan tenaga untuk parti melainkan penyokong PAS.
Mujahid berkata Amanah kini juga dalam usaha untuk mendidik masyarakat hukuman hudud bukan keutamaan dalam syariah.
“Ya, sebab itu kami bawa Islam rahmat untuk semua dan bergerak dalam politik yang mencapai maksud ‘maqasid syariah’, bukan hudud saja,” katanya.
Sementara itu, Mujahid turut memberi keyakinan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad agar tidak dihantui dengan kegagalan parti Semangat 46 yang diasaskan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.
“Pengalaman banyak mengajar kita tetapi kita harus terus berusaha mengelak kegagalan. Masa berlalu konteks juga berubah. Dulu PKR juga dikatakan demikian, tetapi ia terus berkembang,” katanya.