ULASAN: Istilah kafir harbi merupakan istilah fiqh yang membawa konotasi suasana zaman perang di antara wilayah Islam pada zaman dulu dengan negara musuh. Kafir harbi merujuk kepada negara musuh yang berperang dengan Muslim di mana darah mereka halal ditumpahkan kerana ia dalam suasana perang, di mana kafir harbi itu sendiri berusaha membunuh umat Islam.
Istilah ini muncul apabila berlakunya suasana politik yang mengklasifikasikan antara Darul Islam dan Darul Harb. Setelah berlakunya pembahagian ini, maka golongan bukan Islam juga dibahagikan mengikut pengklasifikasian politik.
Ini bermaksud mengikut pembahagian pada zaman dulu, jika mereka datang dari Darul Harb, mereka dinamakan kafir harbi, jika mereka masuk ke negara Islam dan mendapat perlindungan sementara dinamakan musta`min dan bagi yang mendiami negara Islam dan membayar jizyah dinamakan kafir zimmi dan jika bukan warga Muslim yang negaranya mempunyai hubungan damai dengan Darul Islam merupakan kafir mua`had
Konsep pembahagian tersebut secara jelas mengikut konvensyen politik yang ada pada zaman tersebut.
Pandangan ulama yang muktabar
Ulama muktabar kebanyakannya mempunyai pendapat masing-masing berkenaan peletakan istilah Darul Harb atau Darul Islam dan relevan atau tidak penggunaan istilah kafir harbi berdasarkan peletakan istilah tersebut. Ini jelas dikupas oleh Dr Abdullah Ben Bayyah, Sheikh Muhammad Abu Zahroh, Sheikh Dr Yusof al Qaradhawi, Sheikh Wahbah al-Zuhaily dan sebagainya.
Saya tertarik kupasan Dr Maszlee Malik dan Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad di dalam kertas kerja mereka yang bertajuk “Fiqh Muwathanah (Fiqh Kenegaraan): Spektrum Baru Politik Islam Moden” yang dibentangkan pada Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI 2015).
Mereka mengatakan karya fiqh klasik hasil karangan para ulama terdahulu berkaitan politik, kenegaraan dan hubungan luar banyak dipengaruhi konteks dan keadaan politik semasa. Sheikh Muhammad Abu Zahroh membentangkan semula dimensi baru pembahagian negara-negara di dunia mengikut Darul Islam dan Darul Harb. Menurut beliau dalam karya ulungnya berkaitan fiqh hubungan luar negara (al-`Alaqat al-Duwaliyah),Sheikh memberikan pembahagian baru yang selari dengan tuntutan zaman ini yang tidak lagi melihat negara bukan Islam sebagai Darul Harb ataupun secara literalnya “negara yang diperangi”.
Logiknya, menurut Sheikh, pembahagian tersebut yang didasari kepada dalil berkaitan dengan jihad, sikap umat Islam terhadap musuh, isu kesetiaan orang Islam kepada umat dan bumi yang didiaminya dan juga isu kedaulatan tanah air adalah dicorakkan oleh peperangan yang menjadi `illah atau penyebab hukum.
Maka apabila `illah sesuatu hukum itu tiada, hukum tersebut juga hilang. `Illah peperangan sebagai asas hubungan di antara negara dan agama yang wujud pada zaman tersebut kini tiada. Maka istilah kafir harbi tidak tepat digunakan untuk konteks Malaysia mengikut pandangan ulama itu tadi.
Aplikasi perlu sesuai dengan konteks semasa
Di dalam kertas kerja sama, penulis juga mengupas tentang pandangan Dr Jasser Audah mengenai isu yang hampir sama iaitu isu jizyah. Beliau menegaskan hukum-hakam berkaitan politik yang dihasilkan ulama silam berdasarkan konteks semasa zaman tersebut. Apa yang penting kita perlu memahami konteks sejarah yang membawa kepada terhasilnya hukum tersebut agar kita tidak bersikap literalis dalam mengaplikasikannya dalam kerangka moden dan mengikut konteks dan waqi` semasa.
Realiti di Malaysia
Seperti yang kita fahami kafir harbi adalah mereka yang wajib diperangi di peringkat negara di atas dasar peperangan. Dan pihak yang berhak mengeluarkan arahan dan perintah ialah pemerintah atau Ulil Amri bukannya masyarakat umum.
Pada zaman ini, warga atau rakyat bukan Islam yang tinggal bersama umat Islam di Malaysia tidak dikira sebagai kafir harbi. Malah pengklasifikasian harbi atau dhimmi yang digunakan ulama silam juga diperbaiki ulama moden, memandangkan negara moden mempunyai konsep kewarganegaraan yang memberikan hak dan tanggungjawab yang saksama di antara Muslim dan bukan Islam.
Realiti hari ini, kewarganegaraan bukan lagi dinilai melalui agama seseorang individu, tetapi kepada kerakyatan dan juga kesetiaan mereka kepada ruang geografi berdaulat yang mereka tinggal. Setiap individu yang menjadi warga kepada sesebuah negara mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama dengan warga lain.
Ini dapat difahami melalui kupasan Fiqh Kewarganegaraan iaitu fiqh yang berkaitan warga sesebuah negara dan hubungannya dengan negara tersebut daripada perspektif Islam dan syariah. Ikatan kewarganegaraan yang ada ini menjadikan label kafir harbi itu tidak relevan untuk mereka.
Bahkan jika ada antara mereka yang melakukan penentangan terhadap Islam di dalam negara ini, mereka tidak digelar kafir harbi, tetapi digelar penjenayah yang harus dihukum melalui pelaksanaan undang-undang mahkamah kerana keterikatan mereka dengan prinsip kewarganegaraan itu tadi.
Saya tertarik kupasan Dr Maszlee semasa wacana kafir harbi pada 16 Julai 2016 berkenaan soalan yang ditanya hadirin tentang bagaimana dengan orang kafir yang tinggal di Malaysia dan membuat penentangan dan ejekan kepada agama Islam seperti yang dilakukan Alvin Tan yang mempermainkan Al-Quran.
Maka Dr Maszlee menjawab, mereka bukan kafir harbi, tetapi penjenayah yang wajar dihukum oleh kuasa undang-undang kerana yang jelas mereka golongan warganegara Malaysia dan terikat dengan undang-undang Perlembagaan. Maka secara jelas, istilah ini tidak begitu tepat untuk digunakan kepada golongan bukan Islam di Malaysia.
Tidak relevan
Tidak dinafikan, sebuah istilah itu wujud dan akan selamanya wujud, tetapi yang menjadi fokus konteks semasa dan relevan atau tidak untuk digunakan. Kita perlu berhati-hati dalam penggunaan istilah tersebut terutamanya di Malaysia yang masyarakatnya terdiri daripada masyarakat majmuk.
Pengklasifikasian ulama kontemporari cukup jelas kafir yang tinggal di sesebuah negara dan menikmati hak dan tanggungjawab di dalam negara tersebut adalah warganegara yang terikat dengan undang-undang dan perlembagaan negara.
Perbezaan pendapat tentang topik ini harus diuruskan secara baik dan kita berhak untuk memilih hujah yang paling dekat dengan kebenaran dan sesuai dengan konteks agar tidak disalah ertikan masyarakat umum.
Sebagai konklusi, berdasarkan hujah yang dikupas di atas, isu kafir harbi ini dilihat tidak begitu relevan untuk digunakan dalam konteks Malaysia dan konotasinya juga akan menimbulkan kebencian dan akan membuka pintu keburukan lain.
Tindakan kita juga tidak kiralah golongan muda, mahasiswa, agamawan, ahli politik dan sebagainya, untuk mendalami dan perbanyakan pembacaan tentang kupasan fiqh semasa seperti fiqh kewarganegaraan, kontemporari, jihad dan sebagainya.
Seterusnya kita harus komited melakukan dakwah kepada golongan bukan Islam yang mana itu sunnah terbesar Rasulullah tinggalkan kepada kita. Teruskan menyebarkan dakwah dan rahmah kepada semua!
Penulis, Nik Fatma Amirah Nik Muhamad adalah aktivis Ikram Siswa.