Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengalu-alukan sokongan 13 Adun dan ahli parlimen Pas Selangor terhadap cadangan gencatan senjata timbalan presiden parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Wakil rakyat Pas sokong timbalan presiden Pas, Alhamdulillah.
“Apabila wakil rakyat Pas di Selangor mengambil ketetapan mendukung dan menyokong timbalan presiden mereka itu satu perkembangan yang baik supaya semua parti harus melihat kepentingan negara, negeri dan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan parti yang lain,” kata beliau ketika ditemui di Mahkamah Jalan Duta hari ini.
Malah menurut timbalan presiden PKR itu juga, beliau merupakan antara orang pertama yang menyokong cadangan agar semua pembangkang bersatu itu.
“Bila ada cadangan daripada Tuan Ibrahim untuk mengambil sikap yang lebih terbuka dan kembali ke meja rundingan saya antara orang yang pertama mendukung usaha ini dan memberikan sokongan termasuk beberapa pimpinan yang lain,” katanya lagi.
Tuan Ibrahim minggu lalu mencadangkan agar pembangkang membuat gencatan serangan dan bekerjasama semula dengan memberikan tumpuan kepada musuh bersama iaitu Umno dan Barisan Nasional (BN).
Naib presiden Pas Datuk Iskandar Abd Samad kemudiannya membuat kenyataan terbuka menyokong cadangan tersebut.
Kelmarin, 13 Adun dan ahli parlimen Pas Selangor pula menandatangani kenyataan terbuka menyokong cadangan itu dan akan menghantar surat kepada pimpinan tertinggi Pas.
Azmin juga berkata, kerajaan negeri yang dipimpin beliau akan mempertahankan mandat yang diberikan rakyat atas nama Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 13.
“Ketika itu atas nama Pakatan Rakyat. Rakyat membuat pilihan dan saya sebagai menteri besar bertanggungjawab mempertahankan mandat yang diberikan oleh rakyat.
“Sekarang ini semua parti politik harus bekerjasama untuk memberikan khidmat kepada rakyat dan kita boleh bincang soal pengagihan kerusi dan manifesto bila menjelang pilihan raya esok. Pilihan raya lambat lagi.
“Sekarang kita tumpu kerja. Saya telah menyatakan pendirian kita nak kerja nak bangunkan negeri selangor, nak memberi khidmat kepada rakyat kerana itu amanah yang diberikan kepada saya dan semua parti,” katanya.