Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bercuti ekoran pengumuman Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berhubung 1MDB.
Menurut Wan Azizah, perdana menteri perlu bercuti bagi mengelak timbul syak wasangka serta salah guna kuasa untuk melengahkan atau menghalang siasatan penuh terhadap isu berkenaan.
Malah, Wan Azizah yang juga ketua pembangkang turut menggesa suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk menyiasat tuduhan wang RM14 bilion yang didakwa dicuri daripada 1MDB daripada 2009 hingga 2015.
Beliau juga meminta supaya Najib yang merupakan menteri kewangan untuk mengadakan sidang parlimen tergempar dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan berhubung dakwaan yang dibuat oleh DOJ.
“Memandangkan isu ini berkait rapat dengan bidang kuasa malah juga jangka masa beliau (Najib) memegang jawatan tersebut, saya percaya rakyat Malaysia mahukan Datuk Seri Najib untuk mengambil cuti sebagai perdana menteri agar tidak timbul syak wasangka salah guna kuasa untuk melengah atau menghalang siasatan penuh terhadap isu yang serius ini.
“Saya menggesa Kabinet untuk menasihatkan Yang di-pertuan Agong untuk menitahkan agar ditubuhkan satu suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat tuduhan wang RM14 bilion telah dilarikan dari 1MDB dari 2009 ke 2015 serta mencadangkan agar individu-individu yang terlibat dihadapkan ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.
DOJ memfailkan saman untuk melucutkan hak sivil di Los Angeles kerana mahu merampas harta tanah bernilai kira-kira AS$1 bilion (RM4 bilion) yang berkaitan dengan 1MDB.
Ia sebahagian daripada dana AS$3.5 bilion yang didakwa disalah guna dan aset lain yang terlibat termasuk rumah mewah, karya seni, jet peribadi dan kutipan filem The Wolf of Wall Street.
Sementara itu, Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) 2.0 pula menggesa supaya Najib meletakkan jawatannya dengan segera ekoran pengumuman DOJ.
Ia, katanya, bagi membenarkan penyiasatan secara bebas dilakukan bagi memastikan tiada gangguan eksekutif serta pesalah dibawa ke muka pengadilan.
Malah, BERSIH 2.0 juga meminta Peguam Negara untuk meletakkan jawatan kerana membersihkan nama Najib sebelum ini.
“Kerajaan sementara perlu ditubuhkan untuk melaksanakan pembaharuan institusi seperti yang dituntut dalam perhimpunan BERSIH 4 serta untuk memastikan pilihan raya yang bebas dan adil pada pilihan raya umum akan datang.
“Memandangkan kepentingan awam yang amat menggalakkan dalam kes ini, semua maklumat berkaitan siasatan dan laporan 1MDB perlu didedahkan kepada orang ramai,” kata BERSIH 2.0.