Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan supaya rakyat negara ini mengadakan perhimpunan aman untuk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Rakyat negara ini penakut. Di negara-negara lain, jutaan akan turun ke jalanan. Rakyat Malaysia ini, baik-baik, kita biasanya tidak berbuat apa-apa (tunjuk perasaan).
“Saya rasa kita perlu adakan satu perhimpunan aman untuk menuntut penyingkirannya (perdana menteri),” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Bekas Pengerusi BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan, yang turut hadir, kemudian menambah bahawa badan pemantau pilihan raya sedang mempertimbangkan cadangan berkenaan.
Mahathir membuat cadangan berkenaan berikutan pertuduhan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk merampas aset yang didakwa diperoleh melalui dana 1MDB.