Tahanan reman terhadap Pengerusi badan pemantau jenayah MyWatch Datuk R Sanjeevan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1954 (Poca) diisytiharkan batal dan tidak sah.
Malaysiakini melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan habeas corpus yang difailkan Sanjeevan terhadap tahanan reman dikenakan terhadapnya.
Hakim Mohamad Shariff Abu Samah memerintahkan waran yang dikeluarkan supaya Sanjeevan ditahan reman di pusat tahanan reman polis (PRC) di Jalan Ipoh dibatalkan memandangkan prosedur penahanannya tidak mematuhi peraturan dengan tepat.
“Berikutan wujud keraguan berkaitan perintah yang diberikan menimbulkan beberapa interpretasi, mahkamah membenarkan permohonan habeas corpus dan memerintahkan Sanjeevan dibebaskan dari PRC serta-merta,” kata Shariff dipetik sebagai berkata.
Di luar mahkamah, Gobind Singh Deo yang mengetuai pasukan peguam Sanjeevan berkata susulan pertuduhan di Seremban, anak guamnya akan dibawa ke mahkamah di sana bagi membuat permohonan ikat jamin.
Pada 10 Julai, Sanjeevan ditahan di bawah Poca, kira-kira 18 hari selepas ditahan, susulan penangkapannya kerana disyaki memeras ugut.
Cara penahanannya di bawah Poca dikritik peguam hak asasi manusia, yang berhujah tidak ada keperluan bagi aktivis anti jenayah itu ditahan sehingga 18 hari jika beliau memang ditangkap mengikut akta berkenaan.
Sanjeevan yang baru-baru ini mendedahkan aktiviti jenayah di dalam negara ini, ditangkap beberapa kali sejak kali pertama ditahan pada 23 Jun kerana disyaki memeras ugut RM25,000 sebagai “wang perlindungan” daripada sindiket perjudian haram.