Parti Amanah Negara (AMANAH) menolak dakwaan Timbalan Ketua AMANAH Selangor, Saari Sungib bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali sedang bermain ‘politik istana’ untuk merasionalisasikan pengekalan PAS dalam kerajaan negeri tersebut.
“Ia adalah perspektif peribadi, bukan AMANAH,” menurut Presiden AMANAH, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, memberitahu Malaysiakini ketika ditemui malam tadi.
“Saari sekadar menjawab soalan dari penonton dalam sebuah forum, kita harus membenarkan pandangan yang berbeza,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Mat Sabu turut menafikan AMANAH telah berbincang atau meminta jawatan exco kerajaan negeri untuk pemimpinnya di Selangor.
“Kami tidak berbincang mengenai jawatan exco bersama menteri besar Selangor atau kerajaan negeri,” jelasnya.
Mat Sabu berkata demikian sebagai mengulas kritikan Azmin terhadap Saari dengan menyindir sama ada pemimpin AMANAH itu sedang mengintai peluang untuk menjadi exco.
“@SaariSungib nak jadi pengemis untuk jawatan EXCO ke?” sindir Azmin di akaun Twitter beliau pagi semalam.
Walaupun timbalan presiden PKR itu tidak mengulas lanjut mengenai kenyataan satu baris itu, ia dipercayai merujuk kepada kenyataan Saari yang mempersoalkan sekiranya menteri besar itu sedang bermain ‘politik istana’ bagi memberi alasan untuk mengekalkan PAS dalam kerajaan negeri.