Delegasi pimpinan tertinggi PKR perlu dengan segera memberi penerangan kepada DAP mengenai keputusannya yang tidak yakin dengan tindakan Pulau Pinang membubarkan DUN bagi mengadakan pilihan raya negeri.
Pengerusi Amanah Pulau Pinang Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata tindakan segera itu perlu dilakukan bagi mencapai kata sepakat dalam kalangan semua parti dalam Pakatan Harapan.
Mujahid berkata keputusan mesyuarat PKR malam tadi juga dilihat sebagai bukan pintu tertutup buat DAP kerana percaya masih ada ruang perbincangan.
“PKR ada sebut dia akan terus hantar wakil untuk berbincang dengan DAP jadi saya merasakan ia bukan pintu tertutup secara muktamad, masih ada ruang berbincang,” kata ahli Parlimen Parit Buntar itu kepada FMT hari ini.
Semalam, PKR memutuskan parti itu tidak yakin dengan cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk membubarkan DUN Pulau Pinang bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
Sementara itu, Guan Eng berkata DAP tidak akan menunggu sehingga tahun depan untuk mengadakan pilihan raya negeri awal, kecuali berlaku situasi khas. Malah, ia perlu dilakukan dalam ‘tempoh munasabah’.
Malah, Guan Eng pada sidang media di Komtar hari ini berkata DAP yakin dapat mempertahankan Pulau Pinang sekarang, malah dalam tempoh dua tahun akan datang juga.
Beliau berkata demikian sebagai menepis dakwaan parti itu bercadang mengadakan pilihan raya awal kerana tidak yakin dapat menang pada pilihan raya umum akan datang.