CATATAN HUJUNG: Sedikit pengalaman semasa era Suhaizan Kaiat bersama dengan Parti PAS sebagai Ketua Pemuda Malaysia , ketika itu saya telah di amanahkan sebagai Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) dalam tahun terakhir sessi 2014-2015.
Dengan membawa misi besar bagi DACS yang pernah dipelopori oleh mantan Ketua Pemuda PAS Malaysia sebelum ini iaitu Haji Salahuddin Ayub agar meletakkan DACS sebagai penggerak massa yang perlu diketengahkan kepada masyarakat.
Cabaran hiburan dan sukan kepada umat Islam amat besar khususnya kepada generasi muda, melalui elemen hiburan dan sukan yang ingin di bawa kepada masyarakat ini perlu diseiringkan dengan kehendak Islam dan orang Melayu khasnya dalam konteks di Malaysia.
Pada 19 Mac 2015, saya dan ‘Team’ DACS Malaysia telah mengadakan kunjungan hormat ke KRU Studios bertemu dengan Ketua Eksekutifnya, Saudara Norman Abdul Halim dan membincangkan berbagai-bagai sudut krangka seni dan hiburan di sana.
Banyak dapatan dan ruang baru di dalam perbincangan lebih dua jam itu yang mengharapkan satu gerakan boleh terhasil melalui idea dua pihak yang berasingan ruang lingkup kerjanya iaitu diantara DACS dan juga KRU.
Antara benda pokok yang disepakati di dalam perbincangan tersebut ialah konsep ‘Patuh Syariah’ perlu mengambil tempat di dalam seni dan karya di dalam masyarakat kita bagi menjadi panduan kepada masyarakat.
Di dalam negara kita, konsep ‘Patuh Syariah’ lebih kepada bidang perindustrian perniagaan umum termasuk sektor kewangan tetapi masih belum mampu diketengahkan di dalam bidang seni dan karya sehingga kesaat ini.
Sepatutnya kerajaan melalui kementerian yang berkaitan boleh mewujudkan satu garis panduan ‘Patuh Syariah’ dalam industri kreatif ini, satu badan perlu diwujudkan bagi melaksanakan elemen tersebut semasa merangka garis panduan dalam penghasilan sesuatu karya sama ada filem, drama mahupun lagu.
‘Patuh Syariah’ boleh berperanan di dalam mengenal pasti karya-karya yang benar-benar mengikut syariat serta batasan agama Islam dan antara Idea bersama yang timbul hasil perbincangan kami itu, adalah mewujudkan satu logo sebagai pengiktirafan halal dan ia akan diberikan sekiranya karya yang dihasilkan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Kemungkinan perlu ada pengiktirafan pensijilan halal kepada karya-karya dalam industri kreatif seperti sijil halal yang dilaksanakan dalam pemakanan dan misal kata dalam industri pemakanan, apabila restoran ada logo halal, masyarakat akan lebih yakin untuk berkunjung ke sana dan begitu juga dalam industri kreatif.
Contohnya, apabila artis barat datang ke Malaysia untuk membuat persembahan dan ia dikenal pasti tidak ‘Patuh Syariah’ maka tidak ada logo di situ, jadi orang Islam akan mengetahui bahawa program tersebut tidak sesuai untuk dihadiri kerana tidak menepati syariat dan batasan Islam.
Ini akan memberikan satu panduan kepada masyarakat untuk memilih karya-karya atau program yang lebih sesuai dan bertepatan dengan batas-batas agama Islam, DACS ketika itu turut menghantar satu surat rasmi kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi mendapatkan maklum balas berkaitan industri kreatif sama ada telah wujudnya konsep ‘Patuh Syariah’ ataupun belum.
Maklum balas yang diterima daripada JAKIM melalui satu sidang medianya bagi menjawab persoalan tersebut tidak menafikan ketidak wujudan konsep ini di dalam industri kreatif sehingga kini kerana kekangan yang ada.
Idea konsep ‘Patuh Syariah’ melalui seni dan karya ini boleh diimplimentasikan juga melalui Kerajaan Negeri supaya pendekatan ‘menang-menang’ dapat diberikan kepada setiap penganjuran hiburan di dalam negeri tersebut.
Garis panduan ini penting bagi setiap penganjuran sama ada seperti konsert , teater, filem atau sebagainya bagi memudahkan setiap penganjur agar menepati syarat dan peraturan yang disediakan sebelum penganjuran diadakan.
Jika elemen ‘Patuh Syariah’ itu berjaya dilaksanakan, ia akan mendorong kepada ‘market’ industri kreatif di samping menjadi panduan kepada mana-mana pihak dalam menghasilkan apa jua karya.
Dan apabila ‘Patuh Syariah’ ini dilaksanakan, kesedaran itu akan datang dengan sendirinya ke dalam diri masyarakat dan ia adalah salah satu strategi dakwah yang boleh dilaksanakan.
Secara tidak lansung ,para penggiat industri kreatif akan berusaha untuk menghasilkan karya-karya yang ‘Patuh Syariah’ bagi mendapatkan pensijilan logo itu agar masyarakat memilih karya mereka.
#Penulis, Salman Hj Salleh adalah Setiausaha Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak