Bagi memberi kefahaman umum khususnya kepada rakyat bukan Islam mengenai rang undang-undang persendirian Akta 355 (RUU 355) atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, Parti Amanah Negara (Amanah) mengadakan diskusi meja bulat di Penang Institute (PI) baru baru ini.
Program ini dilaksanakan atas inisiatif Jawatankuasa RUU 355 Amanah Nasional yang dipengerusikan ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud.
Naib Presiden Amanah yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa turut membentangkan isu RUU 355 sebagai permulaan skop perbincangan dan diskusi.
Pengarah PI, Dr Wong Cheng Huat sebagai tuan rumah mengalu-alukan usaha Amanah Nasional itu dan menyifatkannya sebagai langkah positif ke arah konsultasi semua pihak sebelum ianya dibahaskan di Parlimen.
Peserta diskusi terdiri dari masyarakat sivil mewakili badan bukan kerajaan (NGO) berbagai latarbelakang termasuk Abim, Haluan, Aliran dan MCHB. Persatuan Buddha dan Taoist turut hadir selain ahli legaslatif dari DAP.
Dr Mariah ketika ditemui selepas program berterimakasih kepada PI sebagai agensi pemikir pertama yang menyambut inisiatif Amanah Nasional untuk melaksanakan tanggung jawab konsultasi awam dalam pembikinan undang-undang.
Jadual ‘roadshow’ konsultasi awam akan diteruskan di Perlis pada 6 Ogos depan manakala Kedah dan negeri-negeri lain akan menyusul dalam waktu terdekat.
RUU 355 adalah usul perseorangan ahli parlimen Marang yang dibacakan pada sesi Mei lepas namun ditangguhkan pembentangannya pada sidang Dewan Rakyat Oktober ini; pertama kali seumpamanya berlaku dalam sejarah sidang Dewan Rakyat.
RUU persendirian itu telah menimbulkan berbagai polemik antara persepsi perlaksanaan hudud dan pemerkasaan Mahkamah Syariah.