Bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menegaskan rasa simpatinya terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bersedia memperjuangkan kebebasan beliau.
Menurut Muhyiddin, sejak Anwar dipecat pada September 1998 beliau sentiasa berhubung dengan Wan Azizah untuk bertanya keadaan Anwar.
Malah katanya, beliau merupakan satu-satunya menteri dalam kabinet yang melawat Anwar sebaik saja dipecat 18 tahun lalu.
“Masa dia dipecat kerajaan, satu-satunya menteri yang jumpa beliau adalah saya.
“Saya bersimpati, saya faham kerana saya tahu keadaan Anwar, tapi yang penting sekarang adalah soal kebajikan dan kesihatan beliau.
“Saya selalu tanya Kak Wan macam mana keadaan Anwar,” katanya dalam sidang media pertama bersama Wan Azizah.
Namun kata Muhyiddin, dalam situasi sekarang ini, amat sukar untuk membebaskan Anwar memandangkan dirinya tidak lagi berada dalam kerajaan.
“Ada pihak katakan boleh ke Anwar dibebaskan. Dalam situasi politik sekarang saya tak dapat melihat itu boleh berlaku.
“Lepas pilihan raya mungkin dengan pendirian PKR, kita dah duduk semeja jadi sebahagian rakan. Apa-apa pun keputusan kita kongsi bersama,” ujarnya.