Tindakan kerajaan Pulau Pinang membatalkan cadangan pilihan raya negeri mengejut tiada kena-mengena dengan ancaman Pas untuk bertanding di kebanyakan kerusi di negeri itu, kata Pengarah Komunikasi Amanah Ir Khalid Samad.
“Jangan ada yang menyatakan bahawa pilihan raya negeri Pulau Pinang dibatalkan atas sebab ‘ugutan’ PAS untuk bertanding di semua kerusi.
“Ugutan itu walaupun dipandang serius, bukan sebab rancangan pilihan raya dibatalkan. Rancangan tersebut dibatalkan kerana dilihat tidak perlu mengadakan pilihan raya sebab keyakinan rakyat Pulau Pinang terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) didapati tidak terjejas,” katanya kepada Suara pakatan daily (SPD).
Kata Khalid lagi, walaupun tiada pilihan raya negeri buat masa ini, kesemua parti komponen PH tetap akan meneruskan persediaan untuk menghadapi Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan diadakan selewat-lewatnya pada 2018.
Mengulas isu yang dimainkan pihak musuh, kononnya PH gentar ancaman Pas untuk bertanding di banyak kerusi Khalid berkata, pilihan taya kecil Permatang Pauh pada tahun lalu adalah contoh terbaik kemenangan PH tanpa Pas.
“Tiada sebab Pakatan perlu takut pada PAS di Pulau Pinang atau pun di mana-mana jua yang PAS ingin bertanding. DAP dan PKR masing-masing telah menerajui kerajaan Pulau Pinang dan Selangor sekian lama dan dikenali rakyat.
“Lagipun kami pernah menang pilihan raya kecil Permatang Pauh tanpa sokongan Pas. Ketika itu, Pas Pulau Pinang dan Presiden Pas sendiri telah menentang pencalonan Datuk Seri Wan Azizah tetapi beliau tetap dimenangkan. PKR masa itu dibantu oleh DAP dan fraksi Pas yang sekarang ini bernama Amanah,” tambah Khalid.
Tinjauan SPD ke atas 20 orang penyokong DAP berkenaan isu pilihan raya negeri mendapati rata-rata dalam kalangan mereka bersetuju bahawa pembatalan itu akan memberi lebih banyak peluang kepada PH untuk memberi tumpuan kepada PRU14 yang dijangka akan menjadi sangat sengit.
“Apabila PAS mengumumkan mereka akan bertanding di kebanyakan kerusi maka PRU 14 akan menjadi pertandingan banyak penjuru. Kita tertanya-tanya adakah PAS mahu membantu memudahkan laluan untuk BN mencapai kemenangan?” tanya seorang pesara, Albert Soo, 80, seorang penyokong tegar PH.