Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual mengemukakan permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mendapatkan kelulusan menubuhkan sebuah parti politik baru.
Bekas timbalan perdana menteri itu bakal menerajui parti baru berkenaan sebagai presiden manakala bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula akan berperanan sebagai pengerusi.
Komposisi parti itu dijangka berasaskan kaum Melayu dan disebut-sebut sebagai menggantikan Umno yang diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang menurut Mahathir tidak lagi mampu diselamatkan.
Adalah difahamkan bahawa mereka di sebalik parti baru itu juga bersedia mengghadapi kemungkinan ROS menolak permohonan tersebut.
Sekiranya ini berlaku, kem Mahathir mendakwa Najib ‘goyang’ dengan penyertaan mereka semula ke gelanggang politik.
Sebaliknya, jika ROS memberi kelulusan tanpa sebarang masalah, ini dikatakan memberi isyarat keyakinan perdana menteri untuk berdepan dengan bekas mentor yang kini menjadi seteru politiknya.
Sumber yang rapat dengan parti baru itu memberitahu Malaysiakini, mereka mempunyai “pelan B” jika permohonan ditolak.
“Kami akan gunakan platform yang sedia ada, sebuah parti yang sudah berdaftar dengan ROS,” katanya, tetapi enggan mengulas lanjut.
Walau bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak tidak menjangka sebarang halangan sekiranya permohonan itu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
“Jika semuanya teratur, tidak ada sebab untuk tidak mendaftarkan parti politik baru itu.
“Secara peribadi, saya mengalu-alukan persaingan politik. Ia adalah sihat untuk sistem demokrasi kita,” katanya kepada Malaysiakini.
Turut bersetuju dengan pendirian itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memberi jaminan, kelulusan segera akan diberikan jika syarat-syarat dipenuhi.
“Jika ada parti baru yang mahu diwujudkan, saya sebagai menteri dalam negeri akan meluluskannya kerana kita sebuah negara yang mengamalkan demokrasi,” katanya ketika berucap pada majlis kesyukuran dan jamuan Hari Raya Aidilfitri Umno/BN negeri Perak di Kuala Kangsar malam semalam.
Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan turut mengalu-alukan parti baru itu, tetapi percaya tindakan itu akan melemahkan pembangkang selanjutnya.
“Ini adalah satu proses demokrasi yang sihat. Bagi BN, kami bersedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya.