Beribu-ribu penyokong dan keluarga turun ke perkarangan penjara Sungai Buluh malam tadi bagi menyambut harijadi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ke 69.
Hampir kesemua pemimpin parti Pakatan Harapan hadir termasuk penasihat DAP Lim Kit Siang, naib presiden Amanah, Hasanudin Mohd Yunus di samping pemimpin PKR dan keluarga Anwar.
Mereka memberikan ucapan selamat harijadi untuk Anwar yang berada di dalam penjara itu di samping ucapan-ucapan politik.
Pelbagai jenis kek dan kad ucapan telah disediakan oleh pelbagai pihak untuk Anwar di majlis ini.
69 klip video tentang hidup Anwar dan perjuangannya juga dimainkan sempena sambutan ini sejak siang lagi.
Selain kompilasi ucapan selamat hari jadi, aktiviti lain turut diadakan seperti pameran gambar-gambar lama, bacaan puisi, ucapan dan juga nyanyian.
ADUN Semambu, Lee Chean Chung mendedangkan lagu Kantonis. Pameran gambar-gambar mereka yang bergambar dengan Anwar juga akan diadakan, kata sekretariat kempen bebaskan Anwar.
Turut membuat penampilan sulong di khalayak ramai adalah ahli parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin yang berehat di rumahnya sejak 4 April lalu selepas pengsan di parlimen.
Hanipa menjalani pembedahan kepala selepas itu dan mula sihat walaupun badannya masih lemah dan terpaksa duduk di atas kerusi roda kerana tidak boleh berdiri lama.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah kerana meliwat, tuduhan liwat kedua yang dihadapinya dalam tempoh sedekad.