Rakyat Malaysia mesti menyokong pembebasan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim jika mahu negara bebas daripada kezaliman, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.
Beliau berkata, sebelum ini parti pembangkang dilihat terlalu taksub dengan misi menawan Putrajaya sehingga tidak melawan bersungguh-sungguh ketika Anwar dijatuhkan hukuman penjara.
“Ramai orang cakap kenapa pembangkang tidak mengambil kesempatan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam keadaan lemah.
“Jawapannya mudah kerana rakyat masih mencari orang yang ingin memimpin mereka.
“Kalau kita nak bebaskan Malaysia, kita kena tebus salah kita dahulu di mana pada waktu Anwar dijatuhkan hukuman penjara sebelum ini, sepatutnya 200,000 orang turun ke jalanan,” katanya ketika perhimpunan menyambut uang tahun Anwar yang diadakan di hadapan Penjara Sungai Buloh malam tadi.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.
Dalam perhimpunan malam tadi, kesemua pemimpin parti Pakatan Harapan hadir termasuk penasihat DAP Lim Kit Siang, naib presiden Amanah, Hasanudin Mohd Yunus di samping pemimpin PKR dan keluarga Anwar.
Mereka memberikan ucapan selamat harijadi untuk Anwar yang berada di dalam penjara itu di samping ucapan-ucapan politik.
Pelbagai jenis kek dan kad ucapan telah disediakan oleh pelbagai pihak untuk Anwar di majlis ini.
69 klip video tentang hidup Anwar dan perjuangannya juga dimainkan sempena sambutan ini sejak siang lagi.