Pemuda AMANAH Negeri Perak mengharapkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang baharu ditubuhkan dipimpin oleh Tan Sri Muhyidin Yassin bersedia awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke – 14 (PRU14) dan menentukan kerusi-kerusi yang bakal ditandingi.
Setiausaha Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak Safarizal Saleh berkata, kerusi yang menjadi pilihan BERSATU adalah kerusi Melayu yang ditandingi Umno dan dalam masa yang sama ditandingi juga oleh Pas dan AMANAH.
“Bagi Pemuda AMANAH Perak, PH dan BERSATU perlu duduk segera untuk berbincang bagi menentukan semua kerusi yang bakal ditandingi dan gerak kerja bersama perlu disusun lebih awal bagi memastikan gabungan PH dan BERSATU benar-benar menjadi lawan kepada BN terutamanya di Perak khasnya.
“Pemuda AMANAH Perak melihat beberapa kerusi yang berpontensi untuk menang seperti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Lubok Merbau (majoriti 53 undi), Manjoi (132), Pasir Panjang (304) dan Selama (619) kerana BN menang dengan majoriti yang rendah daripada 1,000 undi pada PRU13 yang lalu,” kata Safarizal dalam satu kenyataan.
Beliau juga berkata beberapa kerusi DUN lain turut berpotensi untuk dimenangi pembangkang berdasarkan perbandingan keputusan pilihan raya umum ke 12 dan 13. Katanya, DUN Kenering (dulu 2,798 kepada 8,216), Selama (355-619), Kubu Gajah (66-1,085), Batu Kurau (2,439-3,834), Alor Pongsu (95-2,196), Trong (916-1,804), Chenderoh (1,039-1567), Belanja (1,887-2,963), Bota (2,068-3,448), Kampong Gajah (1,416-6,100) dan Slim (3,526-3,853). Kerusi-kerusi ini mungkin menjadi milik pembangkang jika sebahagian ahli Umno memberi undi kepada pembangkang.
“Perbincang awal pembahagian kerusi penting untuk memastikan BN boleh diturunkan berikutan skandal pentadbiran negara yang berpunca daripada isu Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan keruntuhan ekonomi dalam negara kita, tindakan kita semua adalah dengan menolak BN dan sekutunya terutamanya di dalam PRU14 yang sudah hampir ini,” akhiri Safarizal.