Pas bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dalam blok kuasa ketika pada 13 Ogos lalu mengisytiharkan mereka akan dikenali sebagai Gagasan Sejahtera menuju pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Bagi Pas, Gagasan Sejahtera akan membuatkan pengundi peninggalkan BN dan Pakatan Harapan untuk mengundi parti yang tidak kontroversi dan bercirikan agama Islam.
Namun menurut pemerhati politik dan bekas aktivis parti itu yang pernah aktif ketika era Fadzil Noor, front Gagasan Sejahtera tidak membawa apa-apa makna dalam keadaan negara di ambang kehancuran akibat skandal 1MDB. Sebaliknya, akan menyerlahkan prinsip Pas yang mahu memutuskan semua hubungan dengan PKR dan bergerak secara bersendirian dalam kekaburan.
“Dengan nama baru blok ketiga Pas dan Ikatan telah mengenepikan setiakawan Pas dan PKR dalam kerajaan Selangor.
“Dengan munculnya Gagasan Sejahtera adakah Pas bersedia keluar daripada pakatan kerajaan negeri bersama PKR dan DAP? Pas jelas mahu bersendirian, tentunya Gagasan Sejahtera mempunyai manifesto sendiri dalam PRU nanti dan bertanding di kerusi milik parti bekas Pakatan Rakyat,” kata aktivis itu.
Bagi beliau, Pas telah diperdaya oleh beberapa pimpinan muda parti itu yang mahu berbaik-baik dengan Umno. Namun yang menjadi mangsa adalah perjuangan parti dan ahli yang ikhlas.
“Pas mudah ditipu oleh beberapa pemimpinnya. Kononnya dengan berdirinya sebuah blok atau pakatan selain DAP dan PKR atau Amanah maka ianya akan muncul sebagai pilihan baharu kepada pengundi pada PRU14 nanti.
“Pas berterusan dengan nada dan irama mengutuk Umno dan BN tetapi secara praktikalnya Pas dalam senyap bersetuju dengan Umno dalam beberapa isu penting yang menguntungkan Umno sebagaimana berlaku di Dun Terengganu dan Dun Perak.
“Rakyat tidak akan menyokong Pas yang pro BN dalam PRU,” katanya.
Dalam pilihan raya kecil Sungai Besar Jun lalu jelas Kuasa Ketiga tidak mendapat tempat di hati rakyat, Pas mendapat undi tercorot dalam persaingan antara parti itu, BN dan Amanah.