Pengumuman Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani bahawa kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dinaikkan pada tahun ini masih belum meredakan keresahan rakyat.
Hal itu kerana kerajaan mengalami kekurangan hasil daripada industri minyak dan gas pada 2016 sebanyak RM30 bilion akibat penurunan harga minyak mentah dunia.
Rakyat sukar mempercayai janji kerajaan kerana sebelum ini sebarang kekurangan hasil perbendaharaan pasti akan diimbangkan dengan mewujudkan cukai baharu untuk memerah wang daripada saku rakyat.
Bagi Pengarah Komunikasi Amanah Ir Khalid Samad, langkah menaikkan kadar GST adalah tidak praktikal memandangkan cukai itu begitu tinggi ketika ia mula diperkenalkan.
“Kadar GST pada 6 peratus pun sudah terlalu tinggi sebagai kadar permulaan. Adalah terlalu zalim jika ia dinaikkan lagi pada masa sekarang apabila rakyat sedang dihimpit oleh kos sara hidup yang tinggi,” kata Khalid Samad kepada Suara pakatan daily (SPD).
Tinjauan SPD terhadap beberapa peniaga di pasar pagi Kepong Baru, Kuala Lumpur mendapati rata-rata mereka berasa bimbang bahawa kerajaan tidak mempunyai cara lain selain meningkatkan GST kepada kadar 7 atau pun 8 peratus tidak lama lagi.
Seorang pemandu teksi di Kepong, Gopalsamy berusia 63 tahun berkata, kerajaan yang gagal mengawal harga barangan tentunya tidak mampu mengawal kesan berganda kenaikan GST jika ia berlaku.
“Baru-baru ini, harga sayur, daging dan ikan naik lagi. Mengapakah kerajaan tidak mampu mengawal harga barang makanan tersebut? Apakah akan berlaku jika GST dinaikkan?”
Mengulas hal sama, Pengerusi Parti Amanah Negara Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata cadangan menaikkan cukai GST terlalu mengarut kerana kadar yang mampu ditanggung rakyat tidak lebih 3 peratus.
“Adalah tidak berakal untuk menaikkan GST ketika harga barang sudah naik mendadak dan rakyat makin dibebankan dengan kos sara hidup yang menjerut leher,” sinisnya.