Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memastikan pertandingan satu lawan satu antara pembangkang dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 nanti.
Presiden penaja Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu ditubuhkan atas matlamat untuk bersama-sama pembangkang melawan Umno BN.
Bersatu yang sedang menunggu kelulusan penubuhannya oleh pendaftar pertubuhan (RoS) kini dilihat mesra dan bersedia menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan.
“Matlamat kita untuk bersama-sama rakan-rakan pimpinan yang lain, parti-parti yang sehaluan dengan kita baik dalam Pakatan Harapan, Amanah ataupun Pas nak bekerjasama dengan syarat kita dapat wujudkan satu kesatuan yang kukuh dan kita pastikan bila kita menghadapi pilihan raya kita bertanding atas satu lawan satu,” katanya dalam program Bicara Rakyat Bersatu di Jerantut, Pahang malam tadi.
Beliau juga menafikan parti itu akan sama dengan Umno sebaliknya ia akan menjadi parti yang lebih baik dan bersih daripada rasuah dan penyelewengan.
“Saya tak nak kata pun parti ini sama dengan Umno. Parti ini lebih baik dari Umno dan kita sudah wujudkan perlembagaan yang memberikan kebaikan kepada rakyat Malaysia,” katanya yang dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri kerana mempersoalkan skandal 1MDB.
Mengulas mengenai kes 1MDB, beliau berkata perdana menteri Datuk Seri Najib Razak terlibat dalam menyebabkan kerugian wang negara akibat harta yang dicuri.
“Saya tegur dalam jemaah menteri. Bila kerajaan bawa satu kertas nak pinjam daripada kerajaan duit RM3 billion untuk bagi kadar faedah kepada 1MDB.
“Saya kata tak payah guna duit rakyat. 1MDB dah rugi banyak. Macam mana nak bayar. PM tak puas hati, bentang dalam mesyuarat lagi 1MDB dah rugi dan minta tolong jemaah menteri.
“Ada pihak kata apa tak rugi, MAS pun rugi, Perwaja pun rugi, jadi 1MDB rugi biasalah. Tak sama. Yang itu rugi perniagaan yang ini rugi wang yang dicuri. Siapa yang curi? Datuk Seri Najib curi duit kita,” katanya.
Ahli parlimen Pagoh itu juga berkata, Najib memberinya pilihan sama ada menjadi Gabenor Pulau Pinang atau pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan syarat beliau berhenti mempersoalkan 1MDB.
“Suatu hari PM panggil saya dan kata dia tak mahu saya jadi timbalan perdana menteri lagi sebab saya tak ikut cakap dia.
“Tapi dia beri saya tawaran sama ada menjadi gabenor Pulau Pinang atau pengerusi PNB. Tapi saya kata saya tak mahu. Saya bukan nakkan jawatan. Yang salah tetap salah,” tegasnya.