Walaupun pembangkang menghadapi perpecahan akibat pertelagahan Pas dan DAP menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 14 namun dengan wujudnya parti serpihan Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberikan sinar baharu kemungkinan landskap politik akan berubah.
Ahli Parlimen Shah Alam Ir Khalid Samad berpendapat, Bersatu mampu memecahkan kubu kuat Umno sebagaimana dilakukan Semangat 46 pada PRU 1990 lalu. Katanya, pecahnya kubu Umno menjanjikan kemenangan kepada pembangkang kerana Pakatan Rakyat sebelum ini gagal berbuat demikian akibat kentalnya ideologi perkauman yang ditanam Umno ke dalam minda para penyokongnya.
“Strategi pihak Umno (ideologi perkauman) memang berkesan kerana ia telah mempengaruhi minda masyarakat Melayu untuk bergantung sepenuhnya kepada Umno bagi mempertahankan hak masyarakat tersebut.
“Justeru itu, masyarakat Melayu merasa mereka tiada pilihan lain kecuali mengundi Umno buat selama-lamanya,” kata Khalid sepada Suara pakatan daily.
Pengarah komunikasi parti Amanah itu berpendapat walaupun situasi adalah sedemikian rupa namun jika parti Bersatu dapat bekerjasama dengan Pakatan Harapan, maka ia akan memberi satu alternatif kepada masyarakat Melayu. Orang Melayu, kata Khalid, akan melihat pakatan pembangkang juga menawarkan pemimpin-pemimpin Melayu yang berkaliber dan berpengalaman dalam selok belok pemerintahan negara.
“Kalau ini berlaku, mungkin masyarakat Melayu akan mengambil keputusan untuk memberi undi kepada parti selain daripada Umno dan ini adalah masa untuk pembangkang merebut peluang,” tegas Khalid.
Dalam perkembangan lain, Khalid mengesa agar Pakatan Harapan segera memulakan rundingan dengan Bersatu untuk memastikan wujudnya pertandingan satu lawan satu dalam PRU14 nanti.
Beliau meramalkan PRU 14 akan diadakan dalam tempoh setahun daripada sekarang selepas selesai persempadanan semula kawasan pilihan raya.
“Selagi persempadanan semula belum dilakukan, Perdana Menteri Najib Tun Razak mungkin tidak begitu yakin BN akan menang besar.
“Oleh itu, parlimen barangkali hanya akan dibubarkan selepas persempadanan semula selesai dilakukan,” katanya.