Ramai yang memohon hendak menyertai Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), walaupun parti baharu itu masih menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata, mereka hanya boleh menerima permohonan keahlian selepas ia didaftarkan secara rasmi dan mereka juga bersedia menghadapi keadaan jika ia gagal dalam permohonannya untuk menjadi sebuah parti baharu.
“Kami sedia mengemukakan rayuan jika permohonan tidak diluluskan. Kami tidak mahu menimbulkan sebarang masalah dalam perkara ini,” kata bekas perdana menteri itu dalam satu sidang media hari ini.
Presiden Penaja Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghantar permohonan pendaftaran parti baharu itu pada 9 Ogos lalu, berharap pendaftaran parti baharu itu akan selesai menjelang akhir bulan ini.
Beliau berkata, Bersatu lebih terbuka kerana memberi peluang kepada rakyat bukan Bumiputera untuk menjadi ahli bersekutu supaya mereka dapat menyumbangkan idea.
“Kami tidak tanya kenapa parti seperti MCA dan MIC tidak mempunyai ahli bersekutu. Ini menunjukkan bersatu lebih terbuka. Kami beri mereka peluang untuk bersuara. Tidak semestinya sebagai ahli dengan jawatan dalam parti, tetapi kami beri mereka peluang untuk bersuara,” kata bekas timbalan presiden Umno itu.
Parti baharu naungan Dr Mahathir itu terbuka kepada semua kaum, bagaimanapun ahli bukan Bumiputera tidak boleh mengundi atau bertanding untuk jawatan dalam parti.
Mengenai konflik dalam pakatan pembangkang dan jika Bersatu sedia bekerjasama dengan mereka, Muhyiddin berkata, pemimpin pembangkang jelas mengenai kempen mereka menentang Datuk Seri Najib Razak dan mereka perlu bekerjasama jika hendak mencapai kemenangan.
“Kami tahu masalah yang mereka hadapi dan akan bekerja ke arah mencari satu penyelesaian. Jika kami boleh fokus kepada keutamaan itu, kami boleh ketepikan perbezaan kami dan berbincang sebagai kawan,” katanya.
Dr Mahathir turut berkongsi sentimen Muhyiddin dengan berkata, DAP sudah bersetuju dengannya berhubung beberapa perkara, seperti Deklarasi Rakyat untuk mendesak Najib berundur.
“Kami tidak sependapat dalam semua perkara, tetapi ada sesetengah isu yang kami setuju. Mereka sedia menyokong inisiatif yang dicipta saya.
“Kami tidak setuju dalam semua perkara, tetapi apa yang kami sependapat ialah kami mahu Najib berundur,” katanya.
Mengenai Deklarasi Rakyat yang termasuk satu petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja, Dr Mahathir berkata, mereka tiada peluang menemui baginda.
Beliau mendakwa ada petanda Umno cuba menghalang pertemuan itu diadakan, namun tidak menjelaskan secara lanjut cara itu.