Pilihan raya umum (PRU) ke 14 dijangka akan diadakan pada tahun 2017. Bagi Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak kesepakatan pembangkang melawan BN secara satu lawan satu dianggap kunci kejayaan dalam pilihan raya itu kelak.
Oleh itu, Pemuda AMANAH Negeri Perak mempelawa Dewan Pemuda PAS Negeri memulakan langkah awal duduk semeja dan berbincang bagi menghadapi PRU agar fomula ‘satu lawan satu’ boleh direalisasikan.
Setiausaha Pemuda AMANAH Perak Safarial Saleh berkata, langkah berjiwa besar itu diambil agar kepimpinan tertinggi semua parti pembangkang kemudiannya akan mengambil pendekatan berbincang menentukan kerusi dan tidak berlaku pertelagahan apabila tarikh PRU semakin hampir.
“Parti baharu seperti kami daripada AMANAH dan yang terbaru iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamed dan Presidennya iaitu Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin sudah sepakat untuk bersama di meja rundingan.
“Parti lain seperti Parti Tindakan Demokratik Malaysia (DAP), Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) perlu menjadikan agenda rakyat sebagai keutamaan dan mengenepikan kepentingan diri.
“Jadikanlah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kawasan Kuala Kangsar khasnya dan Parlimen Sungai Besar amnya sebagai teladan yang berguna untuk memastikan kita semua mempunyai satu matlamat dan wawasan iaitu bertujuan untuk selamatkan negara kita.
“Usaha kecil ini wajar dimulakan oleh Pemuda bagi melihat pertembungan pada PRU14 nanti benar-benar memberikan keuntungan kembali kepada rakyat dan bukannya mengakhirinya dengan kekalahan yang berpunca daripada sifat ego kita masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.