Kegagalan kerajaan Malaysia mengesan identiti Malaysian Official 1 (MO1) yang dinamakan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat ke atas anak tiri PM Najib, Riza Aziz pada 20 Julai lalu amat memalukan.
Ahli parlimen Shah Alam Ir Khalid Samad berkata, pihak berkuasa seolah-olah tidak berminat untuk menyiasat dan mengetahui idenititi MO1 walaupun kehilangan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah realiti dan turut dilaporkan dalam siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
“Kalau tiada pihak berkuasa (polis, SPRM dan lain-lain) yang ingin bertindak untuk menangkap ‘MO1’ maka rakyatlah yang harus bertindak untuk berbuat demikian,” ujar Khalid merujuk perhimpunan ‘#Tangkap MO1’ yang akan diadakan esok.
Khalid menegaskan bahawa perhimpunan itu merupakan satu keperluan kerana isu MO1 yang berkaitan 1MDB telah dihebohkan di seantero dunia dan kini Malaysia ‘terkenal’ disebabkan kes kecurian wang 1MDB.
Justeru itu, kata Khalid lagi, nama baik negara sudah tercemar dalam kalangan pelabur asing dan perlu dibersihkan segera agar tidak merosakkan ekonomi.
“Matlamat himpunan ‘Tangkap MO1’ bertujuan untuk memberi tekanan kepada ‘MO1’ meletak jawatan serta menekan pihak berkuasa untuk menyiasat aktiviti individu tersebut kerana terdapat banyak bukti yang jelas dan kukuh berkenaan penyelewengan wang dari 1MDB dan identiti si penyeleweng itu.
“Kita juga perlu memberitahu kepada seluruh dunia bahawa rakyat negara ini bukan bodoh dan kita tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku,” tambah Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah.
Himpunan #TangkapMO1 anjuran mahasiswa dan disokong Bersih 2.0 akan dianjurkan di Dataran Merdeka esok bermula pukul 2.00 petang. Pakatan Harapan menyokong penuh himpunan tersebut dan mengerahkan ahlinya hadir.
Himpunan juga buat julung-julung kali akan dihadiri ahli Umno. Gabungan Ketua-ketua Cawangan Malaysia (CKCM) yang pro Tun Mahathir mengesahkan akan menghadirkan kira-kira 10,000 ahli Umno bagi merancakkan himpunan itu.