Kurang 24 jam sebelum himpunan #TangkapMO1 bermula, Pas masih tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada ahlinya sama ada perlu menyertai demonstrasi itu atau pun tidak.
Tindakan Pas tersebut agak aneh memandangkan parti itu adalah tonggak utama himpunan Bersih 1, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 sebelum ini. Malah pada demo Bersih 4.0 Pas tetap mengeluarkan kenyataan tidak menghalang mana-mana ahli parti menyertainya biar pun pemimpin utama tidak akan ‘turun’.
Percubaan sebuah portal, Malaysiakini menghubungi Penolong Setiausaha Agung 1 PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil hanya membayangkan tiada pendirian rasmi parti berkenaan ke atas himpunan yang akan diadakan di Dataran Merdeka, esok, jam 2.00 petang.
“Setakat ini tak ada arahan. Saya tak boleh respon untuk soalan itu.
“Kita akan tunggu arahan setiausaha agung,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara.
Himpunan #TangkapMO1 esok dianjurkan oleh gabungan mahasiswa serta anak muda.
Perhimpunan ini disokong oleh Pakatan Harapan dan gabungan pro-reformasi sistem pilihan raya BERSIH.