Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sudah tidak disiarkan media arus perdana, sebaliknya siasatan ke atas pelaku rasuah yang tiada kena mengena dengan skandal Malaysian Oficial 1 (MO1) bertujuan untuk melalaikan rakyat Malaysia.
Ahli Parlimen Shah Alam Ir Khalid Samad berkata demikian mengulas ‘wayang’ media memperbesarkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Datuk dan Tan Sri yang kononya melakukan rasuah tetapi dirahsiakan identiti mereka.
Katanya, sekiranya pembangkang dan NGO tidak terus menghidupkan isu 1MDB maka tidak mustahil rakyat akan melupakan skandal berkenaan.
“Itulah sebabnya mengapa wujud perhimpunan #Tangkap MO1 pada 27 Ogos lalu. Kita perlu mengekalkan isu 1MDB dalam radar tumpuan perhatian rakyat kerana isu ini melibatkan penyelewengan wang rakyat yang diletakkan dibawah bidang kuasa Kementerian Kewangan,” ujarnya yang juga Pengarah Komunikasi Amanah.
Beliau berharap rakyat tidak akan membiarkan ‘si penyeleweng wang’ meneruskan tugasnya sebagai MO1. Sebaliknya, rakyat perlu mendesak lebih kuat agar individu berkenaan meletak jawatan serta-merta.
Sekiranya gagal, menurut Khalid, negara akan dibebankan dengan masalah ekonomi yang parah. Antaranya, kekurang yakinan pelabur dari negara lain terhadap iklim pelaburan di Malaysia.
“Justeru itu, masyarakat awam iaitu rakyat Malaysia wajib menyeru kerajaan kita bertindak tegas dalam isu ini dan pihak berkuasa seperti SPRM mesti mengambil tindakan segera untuk menangkap orang yang telah ‘kebas’ wang rakyat berbilion-bilion dari 1MDB.
“Ini perlu untuk memulihkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap institusi kerajaan negara kita,” kata Khalid.