Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu berkata beliau merasakan kemerdekaan sebenar apabila Datuk Husam Musa mengumumkan penyertaannya ke dalam parti itu malam tadi.
“Saya rasa merdeka apabila Datuk Husam memerdekakan dirinya dengan menyertai Amanah malam ini,” katanya.
Husam yang merupakan bekas exco Pas Kelantan sebelum itu menyerahkan borang permohonan menyertai Amanah kepada beliau dalam majlis makan malam Ambang Merdeka di Cyberjaya malam tadi.
Mohamad menyifatkan tindakan Husam itu tepat pada masanya dalam membina Amanah yang inklusif.
“Penyertaan Datuk Husam ini sangat tepat pada masanya. Kita memerlukan orang seperti beliau yang sangat banyak kepakarannya,” katanya di hadapan kira-kira 500 orang yang hadir.
Husam yang juga bekas naib presiden Pas, pernah menzahirkan hasratnya untuk menyertai parti Amanah ketika beliau berucap pada ceramah umum Amanah di Kota Lama Kanan, pada Jun lalu.
Husam yang juga Adun Salor ini dipecat dari Pas berkuatkuasa 23 April selepas Jawatankuasa Tatatertib Pas mendapatinya melakukan tindakan dan perbuatan yang bersalahan dengan Fasal 82(1)(b), (c), (d), (e) dan (f), Perlembagaan Pas.
Ini ekoran beliau lantang mengkritik Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu kerjasama parti Islam itu dengan Umno serta kepimpinan parti berhubung isu hudud
Malah, Husam sebelum itu juga pernah berada sepentas dalam program anjuran Amanah sempena majlis makan malam Amanah Kelantan di Petaling Jaya, Januari lalu.
Bagaimanapun Husam tidak membuat sebarang keputusan muktamad berhubung hasratnya itu sehingga pada malam tadi, beliau secara rasmi mengumumkan menyertai Amanah.