Ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli membuat satu kajian selidik ringkas mengenai kecenderungan isu dalam kalangan rakyat bagi menjadi pandu arah ahli politik menghadapi pilihan raya umum ke 14.
Dapatan kajian itu, katanya, agak mengejutkan. Menurutnya, rakyat lebih mengutamakan isu-isu kebajikan dan kenaikan kos hidup berbanding skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ghairah diperkatakan ahli politik pembangkang.
Menurut Rafizi, kajian itu juga membuktikan agenda menukar perdana menteri Najib Razak tidaklah begitu popular kerana rakyat lebih mahukan penyelesaian mengenai keadaan hidup mereka.
“Saya telah membuat satu kaji selidik ringkas yang disertai oleh 718 responden sejak dua minggu lalu. Kaji selidik ini disebarkan secara meluas melalui media sosial dan whatsapp. Kajian ini bertujuan membantu saya memilih isu yang penting untuk rakyat.
“Sedang saya bersetuju sepenuhnya dengan usaha menukar Perdana Menteri serta merta kerana bimbang ada usaha menutup skandal 1MDB dengan menggunakan dana-dana awam seperti Tabung Haji, KWAP, KWSP, PNB, Perkeso dan lain-lain, saya juga khuatir keghairahan bercakap mengenai 1MDB dan memecat Perdana Menteri tanpa membela nasib rakyat terbanyak akan menyebabkan pimpinan Pakatan Harapan dilihat terpisah dari rakyat
“Dapatan-dapatan ini memberi panduan kepada saya bahawa tumpuan pimpinan Pakatan Harapan dan wakil rakyat sewajarnya untuk kembali membela nasib rakyat dengan memperjuangkan penyelesaian kepada masalah-masalah harian mereka,” kata Rafizi dalam satu kenyataan.
Beliau mengetengahkan fakta, daripada718 responden yang ditinjau hasilnya menunjukkan; i) 97% mempercayai ada bukti kukuh Najib terlibat dalam skandal 1MDB; ii) 67% berpendapat pendedahan baru mengenai 1MDB akan mempengaruhi keputusan mereka mengenai 1MDB;
iii) 92% berpendapat isu-isu kebajikan rakyat lebih penting diketengahkan berbanding Rang Undang-undang 355 dan iv) Memperjuangkan isu rakyat untuk membela rakyatadalah agenda penting yang rakyat mahu wakil mereka laksanakan; lebih tinggi daripada mendedahkan skandal 1MDB dan menukar Perdana Menteri
Oleh itu, Rafizi berpendapat kupasan skandal 1MDB oleh ahli-ahli politik pembangkang tidak boleh berlegar hanya kepada wang yang telah diselewengkan dan kemewahan keluarga Perdana Menteri semata-mata. Ia perlu diterjemahkan kesannya kepada kehidupan seharian dalam bentuk kos pendidikan tinggi yang makin tinggi, kos sara hidup, kelewatan bayaran caruman LTAT kepada pesara tentera, penggunaan dana awam dalam projek yang tidak sesuai dan lain-lain.
“Sebab inilah saya jarang mengulas mengenai skandal 1MDB dan polemik politik menukar Perdana Menteri semata-mata kerana ia wajar diimbangi dengan pembelaan rakyat yang ada kesan nyata pada kehidupan harian mereka.
“Saya akan gunakan saki baki beberapa bulan yang saya ada (mengambil kira kemungkinan dijatuhkan hukuman penjara) untuk membawa isu-isu rakyat agar dapat menjadi tumpuan umum,” katanya.
Rafizi juga menyenaraikan isu yang lebih dititik beratkan rakyat dalam memilih kerajaan akan datang. Di antaranya; i) Risiko keruntuhan model pembiayaan pendidikan tinggi PTPTN; ii) Membela pesara tentera dan perajurit untuk memastikan kebajikan mereka terjaga dan mendapat bayaran caruman yang tepat pada masa; iii) Peluang pekerjaan yang lebih adil kepada golongan muda, soal penggajian dan undang-undang muflis yang tidak adil dan iv) Menjaga wang rakyat dalam tabung-tabung rakyat seperti Tabung Haji, Felda, KWAP, PNB dan KWSP.
“Saya akan menyambung kembali pendedahan saya mengenai kelemahan pengurusan di Tabung Haji selepas Hari Raya Aildiladha minggu depan.
“Saya mengecam semua pimpinan perkhidmatan awam di peringkat atasan yang bersekongkol memangsakan rakyat kerana pentingkan kedudukan dan pangkat.
“Saya mengecam semua pimpinan politik yang secara langsung atau tidak langsung membenarkan rakyat terus dimangsakan dan dipijak walaupun negara sudah bebas dari pentadbiran penjajah 59 tahun lalu.
“Anda bergembira dan bermewah dengan habuan gaji dan kedudukan yang anda ada sedangkan sumbernya itu datang dari rakyat. Anda akan diadili suatu hari nanti dan saya doakan anda berpeluang memperbetulkan kesilapan lalu.12 bulan akan datang adalah pecutan terakhir yang perlu meletakkan rakyat di hadapan,” katanya.