Penutupan berpuluh-puluh cawangan bank sejak beberapa bulan lalu menunjukkan suasana ekonomi yang semakin suram. Rakyat Malaysia mula bersetuju dengan andaian berkenaan selepas menyaksikan suasana perniagaan tidak lagi rancak sebagaimana setahun lalu.
Seorang agen hartanah, Edward Teh, 65, merungut melihat prestasi ekonomi hari ini yang tidak dikendalikan dengan baik oleh pemerintah sebagaimana ketika era Tun Dr Mahathir berkuasa atau pun para pemimpin sebelumnya.
Katanya, petanda kejatuhan ekonomi telah pun menyeluruh, hanya kerajaan sahaja yang menafikan hal berkenaan.
“Bank ini tutup 27 buah cawangan, bank itu tutup 23 buah cawangan, sebuah rangkaian pasaraya (Tesco) akan mengurangkan jumlah pekerja sebanyak 600 orang. Bukankah ini tanda amat jelas ekonomi negara kita sudah berada dalam keadaan parah?” tanyanya kepada Suara pakatan daily.
Beliau berpendapat kemerosotan ekonomi kali ini adalah lebih teruk bebanding Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997 kerana selain daripada penutupan cawangan-cawangan bank, kilang dan pengurangan pekerja secara besar-besaran, nilai Ringgit juga berada pada paras lebih daripada RM4 untuk AS$1.
“Sekarang kuasa beli rakyat sudah turun. Sektor barangan runcit melaporkan penurunan angka jualan lebih daripada 3%. Itu baru barang runcit dan barang keperluan harian. Bagaimana pula untuk barangan elektrik, perabot, pakaian, dan sebagainya? Tentu angka penjualan sudah turun mendadak,” sambung Teh.
Beliau menegaskan, selagi kerajaan masih alpa dan tidak mengambil langkah untuk menangani masalah ekonomi maka tidak lama lagi Malaysia akan menduduki tangga tercorot di kalangan negara-negara ASEAN. Teh juga berasa marah kerana ramai pemimpin negara seolah-olah tidak mempedulikan situasi ekonomi tetapi asyik berpolitik dan beretorik kosong sahaja.
“Harapan rakyat untuk mencapai Wawasan 2020 nampaknya akan tinggal kenangan jika situasi begini berterusan. Makin ramai rakyat yang menganggur maka makin kurang barangan yang akan dibeli dan kilang pun akan terpaksa ditutup. Lambat-laun ekonomi negara kita akan tenat,” katanya.