Selepas tiga hari menyertai Amanah, Datuk Husam Musa meminta agar penyokongnya bertenang terhadap pihak yang dilihat semakin galak menyerangnya.
“Saya suka menasihatkan penyokong atau peminat saya untuk kekal ‘cool’. ‘Cool’ adalah indah. Tanda kematangan. Bekal kejayaan.
“Tidak satu pun yang dilakukan oleh makhluk di muka bumi ke atas makhluk lain yg tidak akan dibalas,” ujarnya dalam kenyataan hari ini dipercayai ekoran kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengganggapnya sebagai jahil agama menyebut Amanah sebagai “Parti Islam Amanah”
Husam sedar keputusannya menyertai parti yang bakal genap setahun usianya bulan ini telah memarakkan serangan peribadi yang semakin sengit.
“Saya menasihati diri saya untuk memerima realiti politik Malaysia yang penuh dengan perseteruan bersifat peribadi dan kalah menjadi abu.
“Hatta bagi yang melaungkan mereka membawa panji Islam yang murni dan politik matang lagi sejahtera, tidak terlepas dari kerasnya menembus larangan agama.
“Sejak agak lama, serangan ke atas saya oleh teman bekas wadah perjuangan saya adalah bersifat peribadi, tanpa fakta, tikaman belakang, bertopeng, semborono dan jauh dari akhlak mulia yg kita kenali,” ujar bekas Exco Kerajaan Negeri Kelantan ini.
Sehubungan itu, Husam yang dipecat daripada Pas April lalu mengingatkan supaya tidak memberikan perhatian terlalu banyak terhadap pelbagai bentuk serangan tersebut sebaliknya fokus kepada Kelantan.
“Tumpukan kepada usaha merangka pelan menjadikan Kelantan sebagai model berkerajaan Islam yang moden, makmur, maju, berkebajikan, telus, berakauntabiliti, memelihara akhlak dan mensyukuri semua anugerah Allah untuk Kelantan dengan sebaik-baiknya.
“Dalam rangka itu, mari bersama kita mengembangkan Parti Islam Amanah untuk muncul berketrampilan. Sedikit sebanyak bakat kerdil yang ada pada saya selama memaju dan mempertahankan Pas selama ini, Insya-Allah saya akan gunakan untuk Amanah, sekalipun kita hanya mungkin berjaya sepuluh atau dua puluh tahun akan datang,” ujarnya.
Tambah Husam, Amanah perlu memunculkan diri menjadi cerminan untuk Pas bersaing meningkatkan prestasi dirinya sebagai parti dan kerajaan Islam di bawah konsep ‘fastabiqul khairat’.
“Atau kita menjadi angkatan yang selalu disebut oleh Al Qur’an, ‘wayas tabdil qauman ghairakum’- Allah menjadikan kita angkatan baru menggantikan angkatan lama atas sebab mereka telah hilang kelayakan melangsungkan keunggulan generasi bertaqwa yang cemerlang,” ujarnya lagi.
Sekembalinya Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu ke Kelantan, beliau giat dengan siri jelajah termasuk usaha menubuhkan cawangan Amanah di negeri Serambi Mekah itu.
Malam tadi contohnya, Facebook ‘Dato Haji Husam Musa’ memuatkan beberapa foto tokoh tersebut sekitar mesyuarat penubuhan Cawangan Amanah Wakaf Hj Abdullah dan Gaung Kota, Salor.
Husam sebelum ini memberitahu penyertaannya dalam Amanah adalah kerana percaya parti itu merupakan platform baginya meneruskan perjuangan asal Pas yang telah dikhianati, sekaligus yakin Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz jika masih hidup pasti akan bersama-sama berjuang dengannya.
Walaup bagaimanapun, Hadi dilihat jelas tidak menyenangi kenyataan Husam itu.
“(Kenyataan Husam) Itu kenyataan orang yang jahil agama. Saya lebih rapat dengan Tok Guru daripada dia. Kalau tidak percaya, tengok kaset arwah, tengok apa dia komen tentang saya,” kata Hadi.Malaysia dateline