Amanah berkata tidak ada masalah menyokong rang undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau RUU 355, tajaan PAS dengan syarat ia menjelaskan lebih lanjut mengenai pindaan itu.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata terdapat kekeliruan terhadap usul Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang Mei lalu kerana ia dibentangkan tanpa dibahas dan dijelaskan maksud usul berkenaan.
“Kekeliruan ini menyebabkan berlakunya ketakutan, kerisauan dan ketegangan di kalangan sebahagian masyarakat.
“Ada yang mendakwa ianya berhubung perlaksnaan hudud di Kelantan dan ada yang kata ianya tiada hubungan dengan soal hudud. Ada yang kata ianya bercanggah dengan perlembagaan dan ada yang kata sebaliknya,” katanya pada satu sidang media di ibu pejabat Amanah di sini.
Amanah menganggap tindakan membaca usul itu tanpa bahas dan menangguhkan perbahasan selama 5 bulan bukan sahaja tidak berhemah tetapi tidak bertanggungjawab.
“Selain daripada menghasilkan ketegangan, ia adalah satu tindakan yang menyulitkan proses dakwah Islam dengan menghasilkan penentangan atas sebab kekeliruan,” katanya lagi.
Justeru, Amanah mahu Hadi memberikan penjelasan terhadap RUU 355 yang dibentangkan daripada menjadi bahan mainan politik semata-mata.
“Jangan diberi jawapan bersifat retorik semata-mata. Apa jua pindaan yang melibatkan mahkamah syariah perlu diambil berat dan diperhalusi kerana ianya institusi yang membawa syiar Islam dan oleh itu perlu dilindungi,” katanya.
Baru-baru ini, Naib Presiden Amanah, Datuk Mujahid Yusuf Rawa dibidas PAS sebagai “tidak beradab” selepas beliau dilapor mempertikai kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad yang mewajibkan umat Islam menyokong usul Hadi itu.
Mujahid bagaimanapun menjelaskan kenyataannya bukan ditujukan kepada mufti, sebaliknya beliau tidak akan menyokong sesuatu usul di Parlimen termasuk RUU 355 sebelum ia dibahas.
“Isu sebenarnya ialah pertama dia (mufti) minta ahli Parlimen Islam wajib sokong (usul RUU355), saya menjawab bagaimana saya boleh menyokong sesuatu sedangkan benda itu tidak dibahas lagi.
“Sebagai seorang mufti dia harus kena faham peraturan parlimen, kalau dia orang awam saya tidak kisah. Secara umumnya saya tidak menidakkan apa yang mufti cakap, tetapi perkara itu belum dibahas macam mana nak sokong.
“Lepas bentang usul itu kena bahas, bahas itu tidak semestinya saya menolak dan bahas itu juga tidak semestinya saya menerima bulat-bulat apa yang diminta, tidak pernah terkeluar dari mulut saya perkataan menolak tetapi perlu teliti dahulu,” katanya.
Mujahid berkata tidak perlu terlalu emosi menyalahkan pihak yang tidak menyokong RUU 355 dan menuduh mereka menentang Islam kerana isu tersebut terlalu teknikal.