DAP menyeru semua pihak menjadikan pertemuan julung kali Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemangkin ke arah menyelamatkan negara.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, pertemuan empat mata Ketua Umum KEADILAN dan bekas Perdana Menteri itu harus dijadikan contoh kepada semua rakyat.
“Pertemuan Anwar dan Mahathir selepas 18 tahun perlu dijadikan contoh kepada semua rakyat untuk bertindak sebagai perajurit dengan mengenepikan perbezaan bagi menyelamatkan Malaysia daripada menjadi negara kleptokrasi global.
“Pertemuan bersejarah itu juga menandakan permulaan perjalanan Malaysia baru di mana pejuang sebenar iaitu rakyat yang mengambil berat tentang masa depan negara bersatu untuk menyelamatkan negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyatakan, sudah tiba masanya Sidang Kemuncak Patriotik Kebangsaan yang merangkumi semua pemimpin, individu dan organisasi.
“Sidang kemuncak perlu diadakan dengan menyatukan semua pihak untuk mengambil pendirian patriotik bersama dalam satu kempen nasional dan antarabangsa untuk menyelamatkan Malaysia dari penghinaan dunia.
“Ini sekaligus demi menghapus dan membersihkan Malaysia daripada gelaran antarabangsa iaitu kleptokrasi global yang menuju ke arah negara gagal,” ujarnya.
Pada 5 September lalu, Mahathir membuat kejutan apabila hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan terhadap permohonan Anwar mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.
Mereka dilihat bertegur sapa dan bersalaman di mahkamah dalam pertemuan pertama kali yang dirakam sejak pemecatan Anwar 18 tahun lalu.
Mahathir memecat Anwar pada September 1998 atas dakwaan fitnah, yang kemudian membawa kepada kes mahkamah, gerakan reformasi dan penubuhan Parti KEADILAN Nasional.