Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak mengharapkan Kerajaan Negeri memandang serius kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) tentang taraf kemiskinan di negeri tersebut.
Pengarah Komunikasi AMANAH Perak Muhammad Faeez Azahar berkata, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir tidak wajar menyangkal laporan itu sejurus selepas ia dikeluarkan dan tidak melihat laporan berkenaan secara terperinci.
“KRI dalam laporannya 29 Ogos lalu menyebut Perak menjadi negeri kedua yang mempunyai isi rumah kurang di bawah RM2,000 sebulan selain 81.1 peratus isi rumahnya berpendapatan kurang RM6,000 sebulan.
“Bagi kami, kerajaan negeri wajar menilai dengan berlapang dada kajian daripada pihak berkecuali seperti KRI dalam mendapatkan maklumat yang lebih tepat tentang realiti yang berlaku.
“Kami tidak terkejut dengan laporan tersebut kerana Pemuda AMANAH di seluruh negeri sering turun melihat realiti sebenar kehidupan masyarakat di negeri ini. Tidak boleh disangkal lagi, masih banyak masyarakat yang hidup dalam serba kemiskinan di semua tempat termasuklah di dalam kawasan Dewan Negeri (DUN) yang diwakili oleh Dr Zambry sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Faeez lagi, pendapatan isu rumah di Perak masih di tahap yang rendah berbanding negeri-negeri lain termasuklah negeri Pulau Pinang dan Selangor sedangkan kos sara hidup semakin meningkat. Himpitan kos hidup ini, katanya, semakin terbeban selepas perlaksanaan GST yang menyebabkan segala kos meningkat tanpa mampu dikawal oleh kerajaan.
“Menteri Besar sememangnya boleh menyangkal kajian tersebut, namun realitinya memang terjadi. Laporan KRI ini telah menzahirkan realiti kesengsaraan rakyat bawahan yang mungkin tidak disedari oleh sang pemerintah. Rakyat bawahan sudah pasti menyambut baik hasil kajian ini dan berharap ada sinar dan harapan baru terhadap nasib serta masa depan mereka!
“Masalah kemiskinan ini adalah masalah yang tidak berkesudahan. Kerajaan yang ada pada hari ini sudah tidak mampu untuk menyelesaikannya. Tanggungjawab ini wajar diberikan kepada Pakatan Harapan dalam menawarkan kerajaan yang lebih telus, bertanggungjawab dan beramanah,” tambah beliau.