Kehadiran Tun Mahathir Mohamad di mahkamah Jalan Duta pada 5 September lalu dan bersalaman erat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sesuatu yang sangat menarik untuk dianalisa oleh penganalisis politik Malaysia, kata Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.
Katanya, walau tiada permohonan maaf dan kemaafan dilafazkan antara keduanya dalam pertemuan itu tetapi sokongan dan dokongan Mahathir terhadap usaha Anwar dalam samannya menghalang perlaksanaan akta Majlis Keselematan Negara (MKN) sudah cukup untuk memberi gambaran dan isyarat kepada rakyat tentang suatu ‘permulaan baharu’ politik Malaysia sedang dibina.
“Pada saya mereka berdua adalah manusia besar yang berjiwa besar. Malaysia memerlukan mereka berdua untuk menggerakan reformasi bersama rakan pembangkang yang lain terhadap institusi pentadbiran negara.
“Doa dari Tun Mahathir untuk Anwar sihat serta perakuan Anwar yang Mahathir baik hati sesuatu yang dinanti oleh rakyat untuk masa depan Malaysia yang bebas daripada cengkaman MO1 dan parti Umno milik MO1.
“Reformasi institusi sangat diharapkan untuk mereka berdua bersama rakyat menebus kegagalan masa lalu dengan menggerakan people Grand Coalition,” kata Mahfuz dalam satu kenyataan.
Mahfuz menyeru agar rakan-rakan seperjuangan tidak kecewa dengan sikap Anwar menerima kehadiran Mahathir itu dan mengharapkan mereka turut berjiwa besar seperti Anwar.
“Saya menaruh kepercayaan seperti yang diungkapkan oleh Anwar yang rakyat dan Malaysia perlu diutamakan sama sepertimana saya menerima Anwar selepas beliau disingkirkan dari kerajaan dan Umno.
“Tahniah dan syabas untuk Anwar dan Tun M. Anda tokoh besar, berjiwa besar dan beragenda besar untuk masa depan anak bangsa Malaysia.
“Seribu langkah kejayaan dihadapan bermula dengan langkah yang pertama.Pertemuan ini adalah langkah pertama yang akan disusuli dengan langkah seterusnya untuk bersatu menentang musuh negara,pertahankan maruah bangsa untuk Malaysia tercinta yang menjadi tuntutan Islam,” kata Mahfuz lagi.