ULASAN: Pertemuan antara Anwar Ibrahim dengan Dr Mahathir Mohamad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, cukup menggegarkan politik negara.
Tidak salah juga kalau kita katakan ia sebenarnya menarik perhatian pemerhati politik antarabangsa, kerana kedua-dua tokoh ini sememangnya cukup kontroversi dan hebat.
Jujur penulis katakan, saat Dr Mahathir bersalaman dengan Anwar dan masing-masing tersenyum antara satu sama lain sambil bertanya khabar adalah saat yang cukup manis sebenarnya.
Masakan tidak, ia mengingatkan terhadap gandingan mereka berdua mentadbir negara antara 1993 sehingga 1998, yang mana ia adalah saat negara ini dirasakan berada pada landasan tepat.
Ekonomi berkembang pesat dengan pertumbuhan tujuh hingga lapan peratus ketika itu dan pembangunan negara dijalankan dengan cukup rancak.
Politik negara pula berada dalam keadaan sangat stabil, di mana majoriti rakyat sangat teguh di bawah parti pemerintah, Barisan Nasional (BN).
Boleh dikatakan juga bahawa segala nikmat pemodenan yang dirasai rakyat Malaysia ketika ini adalah asas yang dibina ketika Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Anwar selaku Timbalan Perdana Menteri.
Memang ada rasa yakin dalam diri bahawa Wawasan 2020 yang mahu merealisasikan Malaysia sebagai negara maju akan tercapai.
Namun, semua itu berkecai apabila Dr Mahathir selaku Perdana Menteri, Pengerusi BN dan Presiden Umno mengambil keputusan memecat Anwar sebagai timbalan beliau.
Keputusan itu dibuat dengan sokongan Jemaah Menteri dan Ahli Majlis Tertinggi Umno ketika itu, dan sejak itu jugalah pelbagai kisah tidak seronok kita dengar pasal negara dan kepemimpinannya.
Kisah tidak seronok itu terus berpanjangan sehingga hari ini, di bawah pentadbiran Najib Razak selaku ketua kerajaan.
Pertemuan Dr Mahathir-Anwar, memberi isyarat jelas kepada semua, sama ada parti pemerintah atau parti pembangkang, bahawa politik Malaysia kini memasuki fasa baharu.
Dua sosok yang pernah mengepalai Malaysia pada tahap keemasan di era 1990-an kini berganding bahu menidakkan kepemimpinan Najib.
Sukar dibayangkan jika mereka berdua ini bekerjasama sebagai pembangkang yang melawan kerajaan. Apa kesannya masih sukar ditelah?
Yang pasti, gandingan Dr Mahathir-Anwar ini adalah gandingan ‘gila’. Dua sosok ini cukup gila membawa negara ke mercu pemodenan dengan kestabilan politik domestik yang sangat kukuh.
Pengundi pun tahu, gilanya mereka berdua ini lebih-lebih lagi dalam seni politik tanah air. Betapa licik dan garangnya mereka memancung musuh dan ancaman.
Itu tidak termasuk lagi rangkaian orang hubungan mereka berdua yang penulis sangat yakin bertebaran di seluruh dunia. Nama-nama orang hubungan mereka pun bukan calang-calang.
Adakah BN patut takut Dr Mahathir dan Anwar bekerjasama dan berganding bahu melawan ketua mereka, Najib Razak?
Ya, BN dan Najib Razak wajar takut, harus takut dan mesti takut. Gandingan mereka adalah ‘gila’ dan ia sudah terbukti. Sejarah tahu akan perkara itu.
Ingat! Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013 pun sudah menyaksikan BN sesak nafas sebab hilang banyak negeri penting dan hilang majoriti dua pertiga. Itu baharu Anwar seorang.
Kini Dr Mahathir sudah bersama Anwar menggasak BN. Apa pula yang hilang nanti? Berita Daily