Lebih setahun setelah perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kesan serius menyeluruh mula dirasai dalam kalangan rakyat. Banyak pengguna menyekat perbelanjaan mereka atau mencari alternatif membeli keperluan harian yang lebih murah.
Hal itu menyebabkan peruncit kecil-kecilan merasai bahananya akibat kekurangan pelanggan atau pelanggan terlalu berjimat. Kemerosotan keuntungan menyebabkan banyak peniaga kecil mengambil keputusan menutup perniagaan.
Tinjauan wartawan Suara pakatan daily ke atas dua peniaga di Kepong, Kuala Lumpur mendapati keluhan yang semakin ketara dalam kalangan peniaga kecil di sana.
Wong, 70 tahun, telah membuka perniagaan kedai runcitnya sejak pertengahan tahun 1970an. Selama 40 tahun menjalankan perniagaan, menurut beliau, tidak pernah berlaku suasana perniagaan seteruk yang dialaminya sekarang.
“GST susahkan peniaga. Sekarang orang tak mahu beli barang dengan banyak, sementara barang seperti minuman, makanan dalam tin dan ais-krim langsung tidak laris jualannya.
“Barang makanan seperti biskut, keju, mentega, sosej, kicap dan sos pun kurang permintaan. Hanya barang makanan asas seperti roti, bihun dan mi yang laris dijual,” kata beliau, sambil mengeluh kemerosotan perniagaannya tahun ini sebanyak 50%.
Wong menambah, ramai orang masak di rumah. Setiap pagi kelihatan banyak suri rumah berpusu-pusu ke pasar pagi berhampiran kedai runcitnya untuk membeli barangan dapur.
Beliau juga berpendapat keluarga dengan 2 atau 3 orang anak yang sedang bersekolah hari ini amat susah untuk menyediakan ‘belanja dapur yang selesa’ apatah lagi kalau si ayah sedang menganggur akibat dibuang kerja.
“Ekonomi negara sudah amat teruk. Itulah hakikatnya. Pemimpin kita janganlah cuba memperdayakan rakyat dengan memberi kenyataan bodoh ekonomi masih kukuh, stabil dan berkembang pesat,” sindir Wong dengan suara marah.
Sebuah lagi kedai runcit yang dibuka lewat tahun 1980an dan mengalami kemerosotan jualan mungkin akan ditutup selepas Tahun Baru Cina, Januari 2017 ini.
Pemiliknya, Albert Lum seorang warga emas berusia 68 tahun berkata, beliau akan menutup perniagaannya kerana sudah tidak tahan lagi dengan GST.
“Rakyat sudah ikat perut ketat-ketat. Perniagaan saya alami kemerosotan jualan sebanyak 60%.
“Sekarang orang guna ubat gigi, sabun pembasuh, minuman dan barang dapur sangat minimum. Dulu mereka letak 4 atau 5 sudu teh, sekarang letak 2 sudu teh sahaja.
“Rakyat berjimat sangat, kita pun susah sebab kita rakyat juga. Semua susah kerana GST. Hanya pemimpin sahaja yang hidup senang,” keluh Albert.