Isyarat jelas daripada pertemuan bersejarah Dr Mahathir dan bekas seterunya Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 5 September lalu adalah pembentukan ‘pembangkang baharu’ dan keupayaan mereka untuk menang dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU 14).
Seorang penganalisis politik, Alan Goh berkata, perdamaian dua tokoh besar dalam politik negara itu disambut rasa gembira rakyat Malaysia yang mahu menyaksikan negara kembali ke landasan sebenar ekonomi dan politik, pasca pemecatan Anwar 1998.
“Pertemuan di antara Dr Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi gambaran jelas bahawa parti Bersatu akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14 nanti.
“Ini adalah berita baik untuk penyokong PH kerana kerjasama di antara Bersatu dan PH adalah tanda bahawa semua pihak dalam pembangkang telah mengenepikan perbezaan pendapat dan rela bekerjasama untuk kebaikan rakyat dan negara,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Goh juga berpendapat pakatan pembangkang kali ini berpeluang cerah merampas banyak kerusi parlimen BN dalam PRU 14 jika membuat persiapan awal.
“Dua faktor utama di sini ialah memastikan wujud pertarungan satu-lawan-satu dan pencerahan politik mesti dilakukan di kawasan kampung serta luar bandar (peranan Bersatu).
“Tanpa pencerahan politik tersebut, pakatan pembangkang akan tewas (seperti PRU 13),” ujar Goh.
Bagaimanapun, Goh memberi amaran BN sedang menjalankan kempen secara halus bagi memancing undi dan memenangkan hati rakyat.
Katanya, pembangkang akan ketinggalan jika tidak merancang strategi PRU14 mulai sekarang kerana pemerhati politik menjangkakan PRU akan dilaksanakan sebelum April tahun hadapan.
Goh menegaskan faktor ekonomi yang sedang merudum menyukarkan BN memperolehi banyak undi sebagaimana PRU sebelumnya. Hal itu kerana ramai rakyat yang menganggur, kilang ditutup serta golongan berpendapatan rendah hilang kuasa membeli.
“Ekonomi negara diramal akan meleset pada tahun hadapan. Oleh itu, kerajaan tidak mampu menunggu hingga tahun 2018 (penggal berakhir) untuk mengadakan pilihan raya.
“Ini bererti pakatan pembangkang mempunyai peluang yang cerah untuk meraih sokongan kalau persiapan dibuat sekarang dengan program-program pencerahan minda rakyat tentang berita politik dan ekonomi terkini,” kata Goh.
Beliau juga berkata pakatan pembangkang mesti mengeluarkan manifesto pilihan raya secepat mungkin.