Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berazam akan menjatuhkan Umno dan BN dalam pilihan raya akan datang, bukan sekadar Datuk Seri Najib Razak sahaja, kata pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tun Mahathir berkata hasratnya menubuhkan PPBM bukan semata-mata kerana Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak tetapi kerana Umno dan Barisan Nasional (BN) juga.
“Saya berusaha untuk jatuhkan Umno dan kerajaan BN,” tegas Tun Mahathir di depan pemimpin Amanah, PKR dan orang ramai yang penuh sesak di hadapan beliau.
“Dulu saya keluar Umno saya tak fikir nak tubuh parti. Tapi kali ini saya cuba adakan parti lain yang berhasrat lawan Umno dan BN
“Sebabnya perbuatan pemimpin Umno hari ini, ketua bahagian, wakil rakyat mereka lakukan jenayah besar sukar bagi kita fahami.
“Saya nak singkir manusia ini, nak singkir Najib.
“Tapi kalau singkir Najib saja tak guna tanpa parti yang dia pimpin,” kata Tun Mahathir.
Dulu, katanya, Umno untuk bangsa dan tanah air tetapi hari ini berjuang untuk Najib itu.
“Ia tak masuk dalam perlembagaan. Saya tengok balik perlembagaan baca lima kali takda pula sebut pertahankan Najib,” kata Tun Mahathir sinis.
Untuk menang, katanya, semua pihak perlu bersatu dan keluar dari Umno.
“Kita akan kalahkan Najib dengan parti pribumi bersatu untuk ini kita perlukan kekuatan.
“Kekuatan rakyat mestilah dengan segera jadi ahli parti pribumi bersatu …alhamdulillah malam ini saya terima 1000 permohonan dan kita harap rakyat Negeri Sembilan tolak Umno dan BN,” ujar bekas perdana menteri ini.
Kata beliau dalam usaha ini jika sekalipun perdana menteri tidak turun, beliau berkata PPBM dan pakatan pembangkang akan tunggu pilihan raya akan datang.
“Jika Najib tidak turun sekarang kita terpaksalah tunggu hingga pilihan raya….kita akan tunggu.
“Parti lawan BN menang bukan kerana BN kuat sebaliknya pakatan pembangkan tidak bersatu, jadi tak boleh menanglah.
“Jika mereka bersatu termasuk Pas kita boleh kalahkan BN.
“Nak kata parti lawan kerajaan pun tak kena sekarang ni kerana di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan pembangkang sudah jadi ‘kerajaan’ jadi Umno-BN ni sebenarnya sudah separuh kerajaan lah,” ujarnya disambut derai tawa penyokong malam tadi.
Turut hadir Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Pengerusi Amanah Negeri Sembilan Zulkifly Mohamad Omar dan Ketua Pemuda Amanah negeri, Shahrizal Masrudi serta Setiausaha PKR Negeri Haji Ismail selain ahli jawatankuasa PPBM. Malaysia dateline