Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjangkakan beberapa pemimpin Umno akan mengikut jejak Pengerusi Tetap Umno Bahagian Gelang Patah di Johor mengumumkan keluar parti pada mesyuarat perwakilan Umno negeri akan datang.
Adun Ayer Hitam itu mendakwa, ramai pemimpin Umno bahagian mendekatinya dan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap parti itu.
“Ada beberapa orang yang memegang jawatan penting dalam Umno bahagian memberitahu saya secara peribadi mereka tidak tahan lagi dan sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan parti secara serius.
“Jadi, kita mungkin melihat pengumuman sedemikian diambil beberapa pemimpin itu,” kata naib presiden penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu selepas menghadiri sebuah ceramah, semalam.
Pengasas Umno Bahagian Gelang Patah, Datuk Baharom Abdul Ghani tiba-tiba mengumumkan keluar parti ketika menyampaikan ucapan pada mesyuarat perwakilan bahagian itu, pagi semalam.
Bekas ketua Umno bahagian Gelang Patah dan bekas exco Johor itu mendakwa sebahagian besar kepimpinan Umno yang ada sekarang tidak menerima kenyataan sebenar akibat daripada krisis dihadapi Umno.
Tindakannya itu disusuli Timbalan Ketua Umno Bahagian Kulai, Tosrin Jarvanti yang juga pegawai khas kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut mengumumkan keluar parti semalam.
Bagaimanapun, Mukhriz berkata, mungkin ada di kalangan pemimpin itu teragak-agak meninggalkan parti dengan cara demikian kerana tidak mahu mencari musuh di kalangan ahli Umno.
“Saya faham sebahagian daripada mereka tidak sanggup mencetuskan konflik dalam majlis seperti itu.
“Oleh itu, sebahagian daripada mereka mungkin menyokong kita, tetapi pada masa sama, masih kekal dalam Umno atau mereka boleh meninggalkan parti secara diam-diam, bukannya dengan cara seperti yang berlaku di Gelang Patah,” katanya.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan dilaporkan berkata, peletakan jawatan Baharom tidak memberi kesan besar pada mesyuarat perwakilan bahagian itu, kerana tiada seorang pun perwakilan yang mengikut jejak bekas Adun Tanjung Kupang itu meninggalkan Umno.
Katanya, tindakan itu menunjukkan perwakilan Gelang Patah menghantar mesej tegas kepada orang lain, iaitu mereka akan terus menyokong Umno.