Ahli akademik, Prof Syed Farid Alatas kecewa kerana institusi agama di Malaysia masih didominasi agamawan ‘jadong’ yang sering membuat kenyataan bodoh.
‘Jadong’ adalah singkatan kepada ‘jahat, bodoh dan sombong’ yang dicipta bapanya yang juga ahli akademik dan sosiologi ternama, Prof Datuk Syed Hussein Alatas.
Ketua Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura itu memberi contoh pandangan agamawan mendakwa wanita tidak menutup aurat lebih berisiko dirogol yang turut menjadi tema khutbah solat Jumaat tahun lalu.
“Kajian menunjukkan rogol bukan disebabkan nafsu seksual, tetapi soal kuasa. Semua perempuan, sama ada tutup aurat atau tidak, berisiko menjadi mangsa. Perogol mahu meletakkan kekuasaan mereka terhadap sasaran.
“Ulama maknanya orang yang berilmu. Jika tiada kepakaran mengenai sesuatu perkara, buat kajian atau tanya pakar. Jika tidak, anda adalah apa yang bapa saya sifatkan sebagai ‘jadong’ – jahat, bodoh, sombong,” katanya ketika menyampaikan syarahan pada ‘Seminar Islam tanpa Sektarianisme’ anjuran Islamic Renaissance Front (IRF), semalam.
Beliau berkata, negara lain juga berdepan perkara sama dan memetik pandangan ‘menggemparkan’ ahli akademik Mesir, Dr Izzat Atiya pada 2007 yang berkata, pekerja lelaki boleh menjadi ‘anak susuan’ rakan sekerja wanita untuk menyelesaikan isu bukan muhrim terpaksa berdua-duaan ketika bekerja.
“Tetapi, beliau tidak mempunyai sebarang kedudukan autoriti di Mesir. Di Malaysia, agamawan seumpama inilah yang mendominasi institusi agama.
“Baru-baru ini, timbul pula idea meruntuhkan tugu. Kita juga bersalah, tanya soalan bodoh dan kita akan mendapat jawapan bodoh,” katanya yang turut mengkritik sebahagian golongan akademik masih berpegang kepada pandangan mazhab Syiah berasal daripada Abdullah bin Saba’.
Beliau berpendapat, Abdullah adalah mitos yang sehingga kini dianggap majoriti golongan Sunni sebagai punca wujudnya mazhab Syiah.
Abdullah dikatakan adalah orang Yahudi yang memeluk Islam ketika pemerintahan Saidina Ali Abi Talib dan mewujudkan mazhab Syiah untuk memecahbelahkan umat Islam ketika itu.
Menurut Farid, sejarawan Sunni, Syiah dan Barat mempunyai pandangan berbeza mengenai Abdullah, malah ada yang menganggapnya rekaan sejarawan kurun ke-8, Sayf Ibn Umar.
“Tentulah hebat apabila keadaan semuanya sempurna dan harmoni sehinggalah seorang individu (Abdullah) muncul dan Syiah hari ini wujud kerana konspirasi seorang individu itu.
“Dalam seminar mengenai Syiah sebelum ini, ada ahli akademik menganggapnya sebagai fakta…tidak mengambil pendekatan kritikal, inilah cendekiawan kita yang tidak bermutu (mediocre),” katanya.