Terdapat tanda-tanda kaum dan komuniti peniagaan Cina mula kembali yakin terhadap pakatan pembangkang selepas peristiwa bersejarah Tun Mahathir bersalaman dengan Anwar Ibrahim di Mahkamah pada 5 September lalu. Ketidak yakinan kaum Cina selepas pecahnya Pakatan Harapan apabila Pas meninggalkan gabungan itu kini terjawab dengan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Malah, komuniti perniagaan Cina yang cenderung menyokong MCA juga berfikir untuk mencuba beralih arah pada pilihan raya umum (PRU) ke 14 kelak. Mereka tergoda menelusuri nostalgia kehebatan ekonomi Malaysia era gandingan Mahathir – Anwar pada 1990an lalu.
Tinjauan Suara pakatan daily ke atas dua peniaga Cina dari Segambut, Kuala Lumpur, rata-rata mendapati mereka tidak lagi meletakkan keyakinan tinggi ke atas pentadbiran Najib. Sebaliknya mereka amat positif terhadap kemungkinan pembangkang mengambil alih pemerintahan negara.
Seorang peniaga peralatan logam yang hanya mahu dikenali sebagai Mike berkata, beliau tidak akan mengundi BN lagi pada PRU 14 kerana suasana ekonomi yang semakin buruk serta sikap pembuli Umno ke atas MCA yang ditunjukkan sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Mike memberi contoh keangkuhan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyuruh MCA mengikut rentak Umno jika ingin berjaya dalam pilihan raya.
“MCA kena perli la. Tapi pemimpin MCA mendiamkan diri pula. Saya rasa amat marah dengan situasi ini.
“Selain daripada itu, saya perhatikan Tun Mahathir rela bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dan ini baik untuk negara. Maka saya menaruh harapan penuh kepada mereka untuk melakukan baik-pulih kepada keadaan ekonomi, politik dan sosial negara kita untuk masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Seorang lagi, John Wong, pemilik restoran Cina, 62 tahun memberitahu bahawa perolehan perniagaannya turun sebanyak 30% sejak Cukai Barangan dan Perkhidmatan diperkenalkan oleh kerajaan BN.
Beliau juga memberitahu bahawa ekspot negara telah turun sebanyak 5.1% pada bulan Julai tahun ini berbanding dengan bulan Julai 2015. Hal itu, katanya, memberi petunjuk pendapatan negara semakin berkurangan dan rakyat juga akan berhadapan dengan situasi sukar.
“Oleh kerana pendapatan negara kurang, maka semua harga barang dan perkhidmatan serta caj utiliti akan menjadi mahal mengakibatkan kos sara hidup meningkat dan rakyat dibebani dengan bermacam-macam kos
“Bagaimanapun, buat masa ini saya perhatikan kerajaan masih belum dapat melakukan apa-apa untuk menangani situasi ekonomi yang lembab ini,” kata Wong kesal.
Beliau juga tidak percaya pentadbiran Najib mampu membaik pulih ekonomi selagi mana skandal-skandal besar masih membeliti kroni-kroni Umno BN.