Susulan satu kenyataan media mengumumkan bekas pemimpin dan ahli PKR akan membentuk satu parti yang memperjuangkan agenda asal reformasi kerana tidak sebulu dengan tindakan Timbalan Presiden Azmin Ali yang didakwa memonopoli kuasa dalam parti itu, Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh berkata, penubuhan parti baharu berkenaan mungkin akan mengelirukan rakyat yang ingin perubahan kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum ke 14 kelak.
“Kenyataan ini (parti serpihan PKR) mula merebak sejak beberapa hari lalu. Tiada sesiapa setakat ini yang mengesahkan siapakah Nor Azman Mat Amin tersebut (yang mengeluarkan kenyataan penubuhan parti baharu). Mungkin benar beliau bekas pemimpin PKR
“Apa pun, memang ramai bekas ahli parti di luar sana sebagaimana ramai bekas ahli Umno, bekas ahli Pas dan lain-lain.Dari aspek undang-undang, sesiapa pun boleh mendaftar parti dengan ROS. Itu di luar bidang kuasa PKR
“Cuma rakyat mahukan pembangkang yang sepadu, wibawa dan kuat. Dari sudut lain pula, kita khuatir dengan kewujudan banyak parti baru sedangkan tujuannya adalah sama (menentang BN). Yang berbeza ialah pendekatan dan personaliti.
“Justeru, bagi saya, kita teruskan dengan gerak kerja sebenar dalam membela nasib rakyat di atas platform masing-masing. Rakyat boleh menilai yang mana berkesan, yang mana tidak,” ulasnya dalam pesanan whatsapp.
Kenyataan media berkenaan penubuhan parti baharu viral di internet sejak dua hari lalu. Kononnya bekas pemimpin dan ahli PKR yang terlibat dengan perjuangan awal reformasi sedang menunggu kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi penubuhan sebuah parti yang akan memperjuangkan agenda asal Reformasi 1998.