Walaupun rakyat rata-ratanya tidak bersetuju dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, mereka juga tidak yakin parti-parti politik yang ada dapat menyelesaikan perbezaan untuk bersatu menghadapi Umno/Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).
Demikian kata ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli dalam satu kenyataannya hari ini.
Atas dasar itulah, katanya, beliau mengambil inisiatif untuk membentuk sebuah badan yang dinamakan INVOKE bagi mengumpulkan pihak yang tidak percaya kepada parti-parti politik ini.
Menurut Rafizi, beliau menyumbangkan RM300,000 wang simpanannya untuk membantu menggerakkan inisiatif baru ini secara profesional bagi menjadi platform menggerakkan rakyat di negara ini.
Dalam satu kenyataannya hari ini, Setiausaha Agung PKR itu berkata, satu komponen yang paling penting untuk menukar keadaan politik dan ekonomi negara ialah menggembleng kuasa rakyat untuk menggerakkan sebarang usaha menukar kepimpinan negara.
“Oleh itu, satu platform yang tidak partisan (tidak memilih parti) tetapi berasaskan prinsip dan nilai politik yang baik adalah diperlukan untuk menggembleng tenaga rakyat biasa ini untuk turun gelanggang menyertai usaha menukar kepimpinan negara.
“Dengan cara ini, usaha menukar Datuk Seri Najib dan kerajaan tidak diserahkan bulat-bulat kepada pimpinan parti-parti politik,” kata Rafizi.
Atas kesedaran ini, katanya, INVOKE ditubuhkan untuk memberi platform kepada rakyat Malaysia yang tidak gemarkan politik kepartian tetapi mahu menyumbang kepada usaha menukar kerajaan dan kepimpinan negara.
Ramai di kalangan anak muda sekarang adalah tergolong di dalam kumpulan ini iaitu mereka yang tidak gemarkan politik kepartian.
“Untuk memastikan INVOKE mempunyai kesan yang mendadak di akar umbi, saya telah mendermakan RM300,000 dari simpanan untuk membiayai organisasinya yang diuruskan secara profesional,” katanya.
Derma-derma dari golongan professional juga sudah mencecah RM80,000 dalam bulan pertama INVOKE ditubuhkan, kata Rafizi.
“Saya percaya apabila promosi dijalankan secara besar-besaran bermula minggu ini, derma dari orang ramai akan terus meningkat untuk membiayai kempen akar umbi oleh rakyat biasa yang mahukan perubahan,” katanya.
Sejak beroperasi awal Ogos 2016, INVOKE telah mendaftarkan 763 sukarelawan.
Aktiviti merekrut sukarelawan diadakan setiap minggu dan akan digiatkan bermula minggu ini dengan sasaran 30,000 sukarelawan dari seluruh negara menjelang Mac 2017.
“Bermula minggu ini juga, saya akan turun ke kerusi parlimen marginal untuk merekrut dan melatih sukarelawan rakyat biasa sebagai persiapan menghadapi PRU14.
“Mereka akan membantu dan bekerja bagi mana-mana calon dari mana-mana parti yang bersetuju dengan prinsip-prinsip politik yang INVOKE tetapkan,” katanya.
Katanya, calon itu juga perlu bersetuju dengan #ProjekBuangNajib iaitu satu gerakan politik akar umbi yang dicetuskan INVOKE dengan pendekatan menyokong calon yang paling berpeluang besar menewaskan calon Umno/Barisan Nasional di kerusi-kerusi marginal.
Minggu depan, katanya, INVOKE akan mengumumkan inisiatif pendaftaran pengundi baru yang tidak pernah dicuba di negara ini dan diyakini akan menarik minat orang muda.