Malaysia sukar mencapai impian menyediakan pengangkutan awam kelas pertama kepada rakyat sebagaimana dijanjikan kerajaan, kata ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.
Katanya, pengangkutan awam di negara ini lebih dikenali sebagai mahal dan bermasalah. Katanya, rakyat tidak berpuas hati apabila kerajaan menaikkan tambang komuter KTM antara 20 peratus hingga 140 peratus dan kenaikan LRT RapidKL pula antara 40 peratus hingga 102 peratus.
Sebaliknya, kata Nurul, kualiti perkhidmatan semakin buruk berikutan beberapa insiden terputus bekalan kuasa sistem LRT baru-baru ini.
“Kemuncaknya adalah pada pagi 9 September 2016 apabila pengguna LRT kecewa atas perkhidmatan LRT yang gagal berfungsi mengakibatkan penumpang aliran Gombak-Putra Heights terpaksa berjalan di tengah-tengah landasan keretapi ke stesen berdekatan apabila gerabak berhenti di tengah-tengah landasan
“Insiden 9 September 2016 menzahirkan sikap tidak bertanggungjawab pihak pengurusan LRT dan Prasarana yang memaksa penumpang berjalan di tengah landasan keretapi yang amat berbahaya.
“Jika diamati video yang dikeluarkan oleh KiniTv, jelas memperlihatkan bahawa sebuah gerabak masih beroperasi ketika para pejalan kaki masih berada di tengah-tengah landasan.
“Enam bulan lalu, dua orang kakitangan MRT Singapura maut ketika ditugaskan untuk memeriksa penggera tenaga elektrik di landasan keretapi[7]. Kemalangan tersebut berlaku kerana bekalan kuasa tidak dimatikan sebelum kedua-dua kakitangan tiba di lokasi penggera, seperti yang diwajibkan mengikuti SOP SMRT.
“Ketika itu juga, terdapat sebuah gerabak yang beroperasi bertentangan dengan arah kedua-dua mangsa tersebut. Jika kakitangan syarikat SMRT pun memerlukan bekalan kuasa di trek kereta api dimatikan apabila berada di tengah-tengah laluan pejalan kaki di landasan kereta api, apatah lagi orang awam biasa?” soal Nurul.
Beliau turut menyenaraikan kegagalan LRT sejak 3 tahun lalu yang melibatkan 80 penumpang berdepan detik cemas apabila tiga tren stesen LRT yang dinaiki rosak dan tersangkut di landasan, di lokasi berasingan antara stesen Masjid Jamek menghala ke Gombak pada 20 September 2014; LRT Kelana Jaya di Stesen Abdullah Hukum menuju Gombak terganggu kira-kira setengah sekitar 7.00 pagi berikutan masalah sistem pintu LRT dan gangguan bekalan elektrik di stesen LRT pada waktu puncak orang awam ke tempat kerja menyebabkan ramai pengguna terkandas di stesen masing-masing pada 7 September 2016.
Sehubungan itu, Nurul mendesak keprihatinan serta pertanggungjawaban Prasarana dan RapidKL dalam menjaga keselamatan pengguna.
“Kegagalan Prasarana menguruskan masalah ini amat mencemaskan kerana jumlah pengguna perkhidmatan LRT semakin bertambah.
“Kajian daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menunjukkan penggunaan pengangkutan awam pada 2013 meningkat 1.2 peratus kepada 20.8 peratus berbanding 19.6 peratus pada 2012. Jumlah perjalanan pada waktu puncak sebelah pagi juga meningkat 9 peratus kepada 5.7 juta perjalanan, dengan 827,000 pengguna setiap hari.
“Kini, perkhidmatan LRT dan monorail mengangkut hampir 900,000 orang penumpang setiap hari dengan menggunakan hampir 80 tren.
“Oleh sebab itu, masalah teknikal LRT mengakibatkan sebahagian besar warga kota yang tentunya mengejar masa untuk mencari rezeki. Rakyat Malaysia, khususnya warga kota berhak untuk merasai pengangkutan awam yang lebih baik. Perkhidmatan percuma dan diskaun yang ditawarkan oleh pihak Prasarana tidak memadai sekiranya masalah yang sama masih berlarutan dan menyusahkan pengguna,” katanya.
Beliau juga merujuk insiden terputus bekalan sistem SMRT di Singapura yang mengakibatkan dua kematian pekerja disiasat oleh satu jawatankuasa khas. Malaysia juga, katanya, perlu melakukan perkara sama bagi mengenal pasti punca dan tindakan yang boleh diambil bagi mengelakkan kejadian terputus bekalan kuasa berulang.
“Jaringan sistem sedia ada beserta projek MRT wajib dipantau menerusi Jawatankuasa Parlimen yang menuntut pertanggungjawaban daripada SPAD. Kita wajib berusaha mengelakkan kemelut permasalahan operasi serta kenaikan kos daripada dibebankan kepada pengguna.
“Projek berbilion ringgit yang bakal diserahkan kepada Rapid Rail Sdn Bhd atau mana-mana entiti korporat wajib bersyarat menyediakan sistem pengangkutan awam darat yang benar-benar efisien dan bermanfaat untuk pengguna,” akhirinya.