Perhimpunan Bersih 5 dijangka diadakan pada Sabtu, 19 November depan.
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah mengumumkan perkara itu pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, kumpulan tersebut kekal dengan tuntutannya antara lain supaya pilihan raya bebas dan adil.
Menurut Maria, Bersih juga akan melancarkan konvoi di seluruh negara bagi memupuk kesedaran mengenainya pada 1 Oktober ini.
“Acara kemuncaknya adalah himpunan yang diadakan pada November ini dengan tema ‘Satukan Tenaga, Malaysia Baru’
“Bersih 2.0 percaya tidak mengadakan protes bukanlah satu pilihan,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Bersih 2.0 juga, katanya, akan melancarkan Konvoi Bersih 5 di seluruh negara secara serentak pada 1 Oktober ini membabitkan enam bandar utama seperti Kangar, Johor Bahru, Kota Bharu, Lumut, Sandakan dan Miri.
Objektif utama konvoi berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang tuntutan Bersih mengenai reformasi institusi dan keparahan skandal 1MDB.
“Konvoi Bersih akan bergerak menuju ke Kuala Lumpur, dan akan mengambil masa selama tujuh minggu untuk berakhir. Obor Bersih akan diserahkan dari bandar ke bandar, kampung ke kampung secara berganti-ganti. Pelbagai aktiviti akan dijalankan seperti pengedaran risalah, ceramah, dan perbualan dengan penduduk tempatan.
“Konvoi ini akan meliputi 246 bandar, pekan, dan kampung di seluruh semenajung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Seruan Bersih “Satukan Tenaga-Malaysia Baru” turut menandakan 10 tahun penubuhan Bersih,” katanya dalam sidang media di Hotel crystal Crown di Petaling Jaya.
Justeru itu, Bersih 2.0 menyeru semua rakyat Malaysia bersatu tenaga dan menyertai konvoi tersebut serta perhimpunan Bersih 5 untuk membawa perubahan dan Malaysia Baru.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah bekas pengerusi Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenivasan, aktivis Hishamuddin Rais dan pemimpin pelajar Anis Syafiqah Md Yusof.