Penyusunan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tanpa menambahkan bilangannya adalah garrymandering untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang, dakwa ahli parlimen pembangkang.
Sehubungan dengan itu, Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam kenyataannya berkata, semua pihak khasnya pengundi di kawasan beliau yang kini dinamakan Damansara membantah cadangan ini.
(Garrymandering adalah satu proses penyusunan kawasan pilihan raya untuk menguntungkan sesetengah pihak atau parti dengan cara mengubahsuai kawasan sempadannya.)
“Cadangan ini mengesahkan ketakutan rakyat Malaysia selama ini bahawa SPR akan memenuhi objektifnya untuk memastikan Barisan Nasional (BN) menang kerajaan persekutuan,” kata Tony dalam kenyataannya.
Menurut Tony, contoh paling jelas adalah kawasan beliau sendiri Petaling Jaya Utara (PJU) yang kini ditukarkan namanya kepada Damansara.
Dalam cadangan ini, kawasan parlimen “Petaling Jaya Utara (PJU)” akan dinamakan sebagai “Damansara” yang akan menjadi kawasan parlimen yang paling ramai pengundi iaitu 150,439, penambahan 76.2% dari 85,401 pengundi berdaftar semasa pilihan raya umum 2013.
Damansara, katanya, akan menggantikan Kapar sebagai kawasan paling ramai pengundi di mana Kapar akan berkurangan pengundi sebanyak 30.3% iaitu turun dari 144,159 kepada 100,456 pengundi berdaftar.
“Bagaimana SPR boleh mempertahankan tindakannya menaikkan jumlah pengundi sehingga 76.2% di kawasan saya, dan menjadikannya kawasan paling besar jumlah pengundi di negara ini dan dalam masa yang sama mengurangkan jumlah pengundi paling ramai sebelum ini sebanyak 30%.
“Hanya satu sebab saja dari tindakan SPR ini, iaitu untuk menambah jumlah majoriti kawasan yang tidak mungkin di menangi BN dan mengurangkan majoriti kawasan yang BN boleh menang,” kata Tony dalam kenyataannya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah bermula hari ini.
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.
Beliau berkata SPR akan mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah selama satu bulan bermula hari ini hingga 14 Oktober depan.
“Ia akan disiarkan di akhbar-akhbar tempatan pada Khamis ini untuk tujuan semakan dan bantahan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya SPR bercadang mengesyorkan tiada perubahan bilangan bahagian-bahagian pilihan raya kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu.
SPR tidak boleh menambahkan bilangan kerusi parlimen atau negeri tanpa mendapat kelulusan majoriti dua pertiga (2/3) ahli Dewan Rakyat di peringkat Parlimen dan Dewan Negeri di peringkat negeri kerana ia satu pindaan perlembagaan.